Tuesday, September 29, 2009

**KeDuDuKaN HuKuM LeLaKi M'BeRi & M'JaWaB SaLaM PeReMpuaN**

Sunat bagi perempuan memberi salam kepada sesama perempuan dan wajib ke atas yang diberi salam menjawab salam tersebut sebagaimana keadaan hukumnya antara lelaki dengan lelaki memberi dan menjawab salam.

Jika perempuan itu adalah isteri kepada lelaki tersebut atau mahramnya, maka kedudukannya sama seperti keadaan lelaki memberi dan menjawab salam dengan sesama lelaki, iaitu sunat salah seorang daripada mereka memulai memberi salam dan salah seorang lagi wajib menjawab salam tersebut.

Jika perempuan itu adalah orang asing (ajnabiyah) bagi lelaki tersebut, apatah lagi perempuan itu tergolong dalam kategori perempuan yang cantik yang ditakuti menimbulkan fitnah, maka makruh lelaki itu memberi salam kepada perempuan seperti ini. Jika dia(lelaki) memberi salam juga, haram bagi perempuan itu menjawab salam tersebut. Begitu juga bagi perempuan haram memberi salam kepada lelaki dan jika dia(perempuan) memberi salam juga, makruh bagi lelaki menjawab salam tersebut.

Jika perempuan yang ajnabiyah itu pula adalah perempuan yang sudah tua, sekira-kira tidak menimbulkan fitnah, maka boleh(sunat) perempuan itu memberi salam kepada lelaki dan wajib lelaki itu menjawab salamnya, begitu juga hukumnya salam lelaki kepada perempuan tersebut.

Adapun jika perempuan itu yang terdiri dari bilangan yang ramai, dibolehkan(harus) bagi seorang lelaki memberi salam kepada mereka atau sekiranya lelaki terdiri dari bilangan yang ramai, maka boleh(harus) mereka memberi salam kepada seorang perempuan, dengan syarat tidak ditakuti terjadinya fitnah, sama ada kepada lelaki atau perempuan tersebut.
Situasi yang Dimakruhkan Memberi Salam

Walaupun penyebaran salam itu sangat dituntut, akan tetapi ada tempat dan ketikanya kita dimakruhkan mengucapkannya. Adapun keadaan yang dimakruhkan itu antara lain ialah:

1. Memberi salam kepada orang yang sedang buang air. Dalam hal ini, dimakruhkan memberi salam. Sekiranya orang seperti ini diberi salam, tidak wajib ke atasnya menjawab salam tersebut.
2. Orang yang sedang tidur atau mengantuk.
3. Mengucapkan salam kepada orang yang sedang azan, iqamat dan sembahyang.
4. Orang yang makan sedang makanan berada di mulutnya. Sekiranya dia diberi salam ketika itu, maka tidak wajib ke atasnya menjawab salam itu. Akan tetapi jika dia makan tetapi tidak ada makanan dalam mulutnya, maka tidak mengapa diberi salam dan salam itu wajib dijawab.
5. Ketika sedang khutbah Jumaat. Imam an-Nawawi berpendapat, makruh memberi salam kepada jamaah yang hadir, kerana mereka disuruh untuk berdiam diri mendengarkan khutbah.

6. Orang yang sedang membaca al-Qur’an, menurut pendapat Imam Abu al-Hasan al-Wahidi, adalah lebih afdal tidak memberi salam kepadanya. Jika dia diberi salam, cukup baginya menjawab dengan isyarat. Akan tetapi jika dijawabnya dengan lisan, sambungan bacaan al-Qur’annya dimulai lagi dengan Isti‘adzah
7. Makruh memberi salam kepada orang yang membaca talbiah ketika berihram, kerana memutuskan talbiah itu adalah makruh. Tetapi jika dia diberi salam, maka dijawabnya salam itu dengan lisan (bukan dengan isyarat).
8. Makruh juga hukumnya jika seseorang itu memberi salam dengan mengatakan ‘alaikassalam’ sungguhpun begitu, wajib dijawab salam tersebut, kerana ianya termasuk dalam kategori salam, sepertimana yang diriwayatkan daripada Abu Jurai al-Hujaimi Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya:
“Aku telah datang kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam lalu aku berkata : Ya Rasulullah! Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Jangan awak katakan “alaikassalam” kerana sesungguhnya ucapan “alaikassalam” itu adalah salam untuk orang-orang yang telah mati.”
(Hadis riwayat Abu Daud dan at-Termizi)

9. Makruh memberi salam dengan isyarat, ini berdasarkan keterangan dari Jabir Radhiallahu ‘anhu bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya:
“Janganlah kamu memberi salam seperti orang-orang Yahudi, kerana sesungguhnya mereka memberi salam menggunakan dengan kepala, tangan dan isyarat.”
(Hadis riwayat an-Nasa’i)
Adapun larangan ini ditujukan khas bagi sesiapa yang mampu memberi salam tetapi tidak mengucapkannya, kecuali jika ada keuzuran, seperti orang bersembahyang, bisu dan orang yang diberi salam itu jauh jaraknya sepertimana yang diriwayatkan daripada ِAsma’ Radhiallahu ‘anha, beliau berkata:

Maksudnya:
“Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah melalui dalam masjid dan dalamnya terdapat sekumpulan wanita yang duduk, maka Baginda memberi isyarat salam dengan tangan Baginda.”
(Hadis riwayat at-Termizi)
10. Menentukan salam kepada seseorang atau kumpulan tertentu. Kita ditegah menentukan salam kepada seseorang yang tertentu, kerana salam bertujuan kemesraan, damai dan persaudaraan. Jika menentukan salam, ianya akan menimbulkan buruk sangka serta perasaan iri hati yang membawa kepada permusuhan.

Dari huraian ini, dapatlah disimpulkan bahawa perkara memberi dan menjawab salam itu bukanlah juga mudah, kerana atas tanggapan ia sudah menjadi perkara biasa, tetapi ia mempunyai huraian dan permasalahan yang patut difahami oleh masyarakat kita.

Islam mengajarkan umatnya supaya menanamkan dalam diri dan menjadikan budaya memberi salam sebagai salah satu cara hidup bermasyarakat. Islam menyeru umatnya agar mendoakan saudaranya dengan kesejahteraan. Oleh sebab itu, untuk memupuk amalan memberi salam, kita harus menanamkan budaya memberi salam di kalangan anak-anak kita sejak kecil lagi.

Allah Subhanahu wata’ala telah mengaturkan cara salam untuk umat Islam bagi menunjukkan bahawa agama Islam adalah agama yang penuh kedamaian, ketenteraman dan ketenangan. Dalam hubungan ini Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda :

Maksudnya:
“Sesungguhnya Allah menjadikan salam itu sebagai cara penghormatan bagi ummat kita juga sebagai tanda kesejahteraan bagi orang-orang Zimmi yang ada dalam lindungan kita.”
(Hadis riwayat al-Baihaqi)

No comments: