Saturday, October 17, 2009

**SaMPai sYuRGa..**

Pasangan yang bercinta, mereka mencari syurga. Mencari bahagia dan kepuasan santapan jiwa. Biar runtuh awan di langit, biar gegar di lantai bumi, lautan api sanggup direnangi. Itulah kuasa cinta. Pengorbanan yang ditawarkan demi sebuah cinta, yang menjanjikan bahagia.

Tiada insan yang sengaja mencari derita. Seperti ikan mencari air, si dahaga mendamba seteguk minum, mata mengantuk mencari bantal, demikianlah setiap insan mengerumuni cinta. Demi sesuatu yang menjanjikan bahagia.

Namun dalam asyiknya manusia bercinta, di kala itu jualah manusia semakin derita. Rumahtangga musnah, hidup berantakan. Tatkala inai masih di jari, anak belum pun sempat berdiri, tiang rumah dan tangga cinta roboh dirempuh badai.

Luar biasa…
Mereka bukan dipaksa menerima. Kahwin itu bukan kahwin dera atau kahwin paksa. Ia adalah cinta sama cinta, suka sama suka. Jika kedua belah pihak sudah saling menerima dan kenal isi kulit pasangan sehati sejiwa, di manakah cacat di manakah celanya hingga hujan tidak sempat menunggu petang?
Bukankah syurga dunia yang dibina itu mahu dilangsungkan hingga ke Syurga Sana?
Pada hari itu teman-teman akrab setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang perhubungannya berdasarkan Taqwa [al-Dzukhruf 43: 67]
Itulah realitinya.
Bahawa biar sehangat mana pun cinta yang membakar perhubungan dua insan yang berkasih sayang, mereka akan menjadi musuh di antara satu sama lain di padang Mahsyar. Jika dahulunya mereka menolak pertolongan yang ditawarkan demi kebahagiaan sebenar, hari itu mereka pula saling bermusuh dengan permusuhan yang tidak lagi mampu ditolong.
Mengapa cinta menjadi permusuhan?
Apakah yang menguji manusia di Mahsyar hingga pasangan yang akrab menjadi musuh yang saling mementingkan diri?
Sesungguhnya Mahsyar itu mengheret manusia kepada sebuah TEKANAN. Itulah ujian terbesarnya. Segala yang didustakan selama ini terbentang di depan mata. Barulah kelihatan kesan segala perbuatan. Bahawa dunia memang sementara, namun kesan amal berkekalan selamanya. Dan hari Mahsyar itu setiap insan berada di bawah TEKANAN yang maha dahsyat.
Ibu sanggup menggadaikan anak demi untuk menyelamatkan diri.
Dua kekasih sanggup mengorbankan pasangannya demi terbebas dari seksaan yang sedang menanti.
Dalam keadaan yang begitu terdesak dan penuh tekanan, cinta berubah menjadi permusuhan.

Dua kekasih saling menyerang pasangan masing-masing, mementingkan diri, demi sebuah keselamatan.

Kecuali manusia bertaqwa.

Wahai pasangan yang bermadu kasih, ingatkah kalian pada khutbah yang mengiringi lafaz AKU TERIMA NIKAHNYA suatu hari dahulu? Tiga ayat yang dibacakan kepadamu, segalanya berbicara tentang TAQWA.

Pesan itu adalah pesan Tuhanmu. Pesan yang disampaikan di lisan Nabimu. Pesan yang diperpanjangkan kepada khutbah nikahmu. Bahawa tiada bahagia tanpa taqwa. Hanya derita pemusnah cinta, manusia tersungkur di pantai derita, meneguk neraka dunia sebelum Neraka di Sana.
Neraka dunia yang menghancurkan bahagia datang bersama tekanan. Ujian yang amat menghimpit beban. Soal anak, soal pekerjaan, soal keinginan, soal ketidakpuasan, soal kemahuan, soal kesangsian. Rumahtangga yang belayar di tasik madu, menjelang senja dihiris sembilu.
“Lepaskan saya. Saya sudah tidak sanggup lagi,” bentak isteri yang terbeban oleh tekanan perasaan.
“Sabarlah isteriku. Mari duduk mencari petunjuk,” pujuk suami dengan linangan air mata.
Anak-anak menggeletar terperosok di sudut gementar. Melihat ayah dan ibu bergaduh cakar mencakar.
“Bukankah kami hadir kerana cintamu?” bisik si anak kepada hatinya, merayu kepada Tuhan agar mendamaikan sepasang insan tempat dirinya berpaut hidup.
“Sudah-sudah. Tidak perlu dibincang-bincangkan lagi. Lepaskan saya. Hantarkan saya balik ke rumah emak di kampung!” si isteri terus mengamuk.
“Bagaimana dengan anak-anak kita?” suami merenung wajah anak-anak yang kebingungan. Terasa hangat pipi dihujani hiba.
“Semuanya salah abang. Sudah berapa kali saya beri peluang. Abang masih tidak berubah. Abang bekerja untuk keluarga, hingga hancur keluarga. Kalau selama ini kami bahagia tanpa abang, kenapa perlu lagi saya menderita menanti abang. Saya ada cita-cita sendiri!” si isteri mengesat wajahnya dengan lengan. Kata-katanya penuh simpang siur perasaan. Tidak pasti apa yang dimahukan. Kecuali sebuah penceraian…

Tekanan bukan sahaja menjadikan seorang kekasih memusuhi kekasihnya di Akhirat, bahkan tekanan itu juga menghilangkan cinta tatkala menempuh kehidupan dunia. Hingga tidak sempat-sempat menuju penceraian, semata-mata ingin lari daripada sebuah tekanan.
Itulah yang banyak berlaku hari ini.
Pelik sekali, setelah ghairah bercinta kita melangkah ke alam rumahtangga. Belum sempat anak membesar bergegas pula menuju penceraian. Dan janggal sekali, selepas bercerai barulah timbulnya damai. Boleh keluar makan bersama, boleh bergilir melayan anak-anak. Suami isteri payah serasi, biar sekadar teman yang mesra. Semuanya kerana gagalnya manusia, menguruskan tekanan, realiti kehidupan.
Justeru wahai insan yang mabuk cinta, siasatlah benang yang menyulam kasihmu. Apakah ia sebuah taqwa, atau cinta buta yang tidak berpijak di bumi nyata? Sesungguhnya cinta yang tidak bersendikan taqwa adalah cinta yang berakhir dengan permusuhan. Jika tidak di neraka dunia, pastinya Neraka abadi di alam Sana.

Tidak mungkin Syurga di Akhirat menjadi habuan kita, andai dunia bersalut neraka. Dunia ladang Akhirat, apa yang disemai pada hidup yang sementara ini, itulah tuaian di Akhirat yang kekal abadi.
Berjuanglah berbekalkan taqwa untuk mengharungi epilog sebuah cinta, hingga terkecap syurga dunia.
Berjuanglah sampai mengecap bahagia perjuangan, rumahku syurgaku, baiti jannati…
Kejayaan bukan sebuah destinasi, ia adalah sebuah perjalanan.Bercintalah sampai ke Syurga, wahai dua insan bercinta.

Thursday, October 8, 2009

**IsU PeNDiDiKaN AnAK-AnAk**


Menurut ajaran Islam anak adalah amanah Allah yang dikurniakan kepada ibubapa. Ia juga merupakan cahayamata yang sangat diingini dan dikehendaki oleh sesebuah keluarga terutama dalam meneruskan bakti terhadap agama, bangsa dan negara, dan juga untuk memikul tanggungjawab menjaga dan memimpin keluarga terutama apabila ibubapa sudah berada di peringkat umur yang tua.

Islam meletakkan tanggungjawab ke atas ibubapa untuk memelihara anak-anak dengan sempurna termasuklah makan minum, pakaian, tempat tinggal; malah memberi pendidikan dan memperkuatkan iman serta akhlak yang mulia. Dalam sebuah Hadith, Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud:

"Ajarlah anak kamu tiga perkara: Mencintai Nabi kamu, mencintai kaum keluarganya dan membaca Al-Quran".

Islam menjelaskan tanggungjawab ibubapa kepada anak-anak dan juga memberi penghargaan yang tinggi dan meletakkan kedudukan ibubapa begitu mulia. Firman Allah S.W.T. dalam Surah Al-Isra' ayat 23 & 24 yang bermaksud:

"Dan Tuhan telah memerintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibubapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun berkata "Ha" dan janganlah engkau menengking, menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil".

Oleh itu penggunaan teknik komunikasi yang berkesan adalah penting untuk membina keluarga bahagia. Setelah anak-anak kita diberi pendidikan Islam dan mengenal Allah secukupnya, mereka hendaklah diajar tentang tatasusila pergaulan dan berkomunikasi dengan orang lain.

Sebenarnya, pergaulan atau cara berkomunikasi itu bermula dari rumah dan buruk atau baik pergaulan itu adalah bergantung kepada pergaulan dan cara berkomunikasi yang ditunjukkan oleh para ibubapa ketika di rumah. Ini kerana anak-anak akan mencontohi pola-pola pergaulan dari ibubapa ketika mereka berinteraksi sesama mereka. Dalam Islam, pergaulan anak-anak dengan Allah mestilah diajar lebih awal. Maka itu, Rasulullah (s.a.w) telah menceritakan kepada ibubapa supaya menyuruh anak-anak mereka mendirikan solat ketika berusia seawal tujuh tahun dan sekiranya mereka ingkar hendaklah dipukul secara wajar sebagaimana menurut sebuah hadis baginda, riwayat oleh al Hakim dan Abu Daud bermaksud:

`...suruhlah anak-anakmu mengerjakan solat pada usia tujuh tahun. Pukullah mereka jika mereka masih engkar setelah berusia 10 tahun dan pisahkanlah tempat tidur mereka....'

Selain dari itu, pergaulan sesama adik-beradik juga hendaklah sentiasa diawasi supaya perilaku yang mencemar nama baik keluarga tidak berlaku. Batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan perlulah dijelaskan kepada mereka. Maka itu, Rasulullah (s.a.w.) telah memerintahkan agar anak-anak itu diasingkan tempat tidur mereka antara lelaki dengan perempuan dan dari para ibubapa mereka sendiri sebagaimana menurut hadis di atas kerana ini mempunyai implikasi moral yang amat besar sekali dalam kehidupan mereka.

Dalam mengasuh dan mendidik anak lelaki perlu menggunakan pendekatan yang berbeza daripada pendekatan yang digunakan apabila mendidik anak perempuan, sementara amalan pilih kasih dan melebihkan seorang anak dari seorang anak yang lain pula perlu dihindarkan. Oleh itu, perkara utama yang perlu diingat apabila hendak mewujudkan kemesraan dan komunikasi yang amat baik sesama ahli keluarga ialah bahawa para ibubapa hendaklah menunjukkan rasa kasih sayang, belas dan mesra kepada anak-anak dan berlaku adil kepada mereka. Islam sendiri telah memberikan panduan dan tunjuk ajar yang serba lengkap dalam pendidikan anak-anak. Islam menganggap bahawa anak-anak adalah satu anugerah Allah yang paling berharga dan perlu dipelihara sebaiknya. Islam sendiri telah menganjurkan supaya setiap anak yang lahir itu diberi kasih sayang dan pendidikan Islam yang secukupnya.

Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab para ibubapa untuk mendidik dan mencorak anak-anak mereka supaya menjadi seorang insan yang benar-benar bertakwa kepada Allah. Ini bertepatan sekali dengan sabda Rasulullah (s.a.w.) yang bermaksud

`setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci lagi bersih), maka para ibubapalah yang mencorakkan mereka sama ada menjadi seorang Majusi atau Nasrani'.

Rasulullah (s.a.w.) merupakan contoh yang terbaik dan paling hampir dengan umat Islam untuk diteladani cara gaya Baginda ketika berinteraksi dengan anak-anak kecil. Baginda sentiasa menunjukkan rasa belas dan kasih sayang terhadap anak- anak. Pernah pada suatu masa, ketika Baginda sedang sujud dalam solat, dua orang cucunya, Hasan dan Husin naik dan bermain-main di atas belakang Baginda. Menyedari perkara ini, Baginda telah memanjangkan tempoh sujud sehingga kedua-dua anak itu selesai bermain. Baginda juga pernah bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim bermaksud

`...barangsiapa yang tidak mengasihi, nescaya tidak akan dikasihi oleh orang lain...'

Ada keluarga-keluarga pada hari ini sedang menghadapi suatu dilema di mana hubungan kekeluargaan, tahap kasih sayang dan kemesraan kian merosot sehingga mengakibatkan terlerainya kemesraan antara ibubapa dan anak-anak. Gejala kurangnya kemesraan antara ibubapa dan anak-anak boleh menjejaskan keadaan masyarakat.

**Ku, KaU BeRBeZa TeTaPi..iStiMeWa**

LELAKI

Lelaki bujang kena tanggung dosa sendiri apabila sudah baligh, manakala dosa gadis bujang ditanggung oleh bapanya. Lelaki berkahwin kena tanggung dosa sendiri, dosa isteri, dosa anak perempuan yang belum berkahwin dan dosa anak lelaki yang belum baligh.

BERATKAN?

Hukum menjelaskan anak lelaki kena bertanggung jawab ke atas ibunya dan sekiranya dia tidak menjalankan tanggung jawabnya maka dosa baginya terutama anak lelaki yang tua, manakala perempuan tidak, perempuan hanya perlu taat kepada suaminya. Isteri berbuat baik pahala dapat kepadanya kalau buat tak baik dosanya ditanggung oleh suaminya.

BERATKAN?

Suami kena bagi nafkah pada isteri, ini wajib tapi isteri tidak. Walaupun begitu isteri boleh membantu. Haram bagi suami bertanya pendapatan isteri lebih-lebih lagi menggunakan pendapatan isteri tanpa izin. Banyak lagi lelaki yang bergelar suami perlu tanggung. Kalau nak dibayangkan beratnya dosa-dosa yang ditanggungnya seperti gunung dengan semut. Itu sebabnya mengikut kajian nyawa orang perempuan lebih panjang daripada lelaki. Tetapi orang lelaki ada keistimewaannya yang dianugerah oleh Allah SWT.

WANITA
Auratnya lebih susah dijaga berbanding lelaki. Perlu meminta izin dari suaminya apabila mahu keluar rumah tetapi tidak sebaliknya. Saksinya kurang berbanding lelaki. Menerima pusaka kurang dari lelaki. Perlu menghadapi kesusahan mengandung dan melahirkan anak. Wajib taat kepada suaminya tetapi suami tak perlu taat pada isterinya. Talak terletak di tangan suami dan bukan isteri. Wanita kurang dalam beribadat kerana masalah haid dan nifas yang tak ada pada lelaki.

Pernahkah kita lihat sebaliknya??

Benda yang mahal harganya akan dijaga dan dibelai serta disimpan di tempat yang tersorok dan selamat. Sudah pasti intan permata tidak akan dibiar bersepah-sepah bukan? Itulah bandingannya dengan seorang wanita. Wanita perlu taat kepada suami tetapi lelaki wajib taat kepada ibunya 3 kali lebih utama dari bapanya. Bukankah ibu adalah seorang wanita? Wanita menerima pusaka kurang dari lelaki tetapi harta itu menjadi milik peribadinya dan tidak perlu diserahkan kepada suaminya, manakala lelaki menerima pusaka perlu menggunakan hartanya untuk menyara isteri dan anak-anak. Wanita perlu bersusah payah mengandung dan melahirkan anak, tetapi setiap saat dia didoakan oleh segala haiwan, malaikat dan seluruh makhluk ALLAH di mukabumi ini, dan matinya jika kerana melahirkan adalah syahid kecil. Manakala dosanya diampun ALLAH (dosa kecil).

Di akhirat kelak, seorang lelaki akan dipertanggungjawabkan terhadap 4 wanita ini: isterinya, ibunya, anak perempuannya dan saudara perempuannya.

Manakala seorang wanita pula, tanggungjawab terhadapnya ditanggung oleh 4 org lelaki ini: suaminya, ayahnya, anak lelakinya dan saudara lelakinya.

Seorang wanita boleh memasuki pintu Syurga melalui mana-mana pintu Syurga yg disukainya cukup dengan 4 syarat sahaja: sembahyang 5 waktu, puasa di bulan Ramadhan, taat suaminya dan menjaga kehormatannya.

Seorang lelaki perlu pergi berjihad fisabilillah tetapi wanita jika taat akan suaminya serta menunaikan tanggungjawabnya kepada ALLAH akan turut menerima pahala seperti pahala orang pergi berperang fisabilillah tanpa perlu mengangkat senjata.

MasyaALLAH...sayangnya ALLAH pada wanita ....
Seorang wanita adalah pelengkap dan sememangnya istimewa di sisi seorang lelaki, tetapi ingatlah wahai lelaki...kamu sebenarnya adalah istimewa disisi Allah, maka dengan sebab itu DIA mengangkat kamu menjadi pemimpin...maka dengan keistimewaan itu, JAGALAH dan HARGAILAH wanita sebaik-baiknya...supaya kelak masing2 lelaki dan wanita dapat pulang mengadap Allah dalam keadaan istimewa disisiNYA..

"Berpeganglah kamu sekalian dengan tali Allah dan janganlah kamu berpecah-belah, dan ingatlah nikmat Allah atas kamu, seketika kamu bermusuh-musuhan telah dipersatukanNya hati kamu semuanya, sehingga dengan segera kamu telah menjadi bersaudara dengan sebab nikmatNya.(Ali-Imran:103)
Pada hari itu (hari qiamat) manusia diberitahu akan segala yang telah dikerjakannya dan yang telah ditinggalkan. Bahkan manusia,itu, anggotanya menjadi saksi terhadap dirinya sendiri, walaupun dia berperi-peri memberikan alasan untuk membela diri "

**SiaPaKaH AnDa..??**

Siapakah orang yang sibuk?
Orang yang sibuk adalah orang yang tidak mengambil berat akan waktu solatnya seolah-olah ia mempunyai kerajaan seperti kerajaan NabiSulaiman a.s
Siapakah orang yang manis senyumanya?
Orang yang mempunyai senyuman yang manis adalah orang yang ditimpa musibah lalu dia kata 'Inna lillahi wainna illaihi rajiuun.' Lalu sambilberkata,'Ya Rabbi Aku redha dengan ketentuanMu ini', sambil mengukir senyuman.
Siapakah orang yang kaya?
Orang yang kaya adalah orang yang bersyukur dengan apa yang ada dan tidak lupa akan kenikmatan dunia yang sementara ini.
Siapakah orang yang miskin?
Orang yang miskin adalah orang tidak puas dengan nikmat yang ada sentiasa menumpuk-numpukkan harta.
Siapakah orang yang rugi?
Orang yang rugi adalah orang yang sudah sampai usia pertengahan namun masih berat untuk melakukan ibadat dan amal-amal kebaikan.
Siapakah orang yang paling cantik?
Orang yang paling cantik adalah orang yang mempunyai akhlak yang baik.
Siapakah orang yang mempunyai rumah yang paling luas?
Orang yang mempunyai rumah yang paling luas adalah orang yang mati membawa amal-amal kebaikan di mana kuburnya akan di perluaskan saujana mata memandang.
Siapakah orang yang mempunyai rumah yang sempit lagi dihimpit?
Orang yang mempunyai rumah yang sempit adalah orang yang mati tidak membawa amal-amal kebaikkan lalu kuburnya menghimpitnya.
Siapakah orang yang mempunyai akal?
Orang yang mempunyai akal adalah orang-orang yang menghuni syurga kelak kerana telah mengunakan akal sewaktu di dunia untuk menghindari siksa neraka.

**IsU NeGaRa IsLaM**

SOROTAN SEJARAH ISLAM dan “NEGARA ISLAM” DI MALAYSIA

Sebelum Islam sampai ke Tanah Melayu, Melaka berada di bawah pengaruh Sriwijaya dan kemudian Majapahit. Menurut para ahli sejarah Malaysia, Islam sampai ke semenanjung ini sebelum abad ke-12. Ini berbeza dengan pendapat para penulis Barat yang menyatakan bahawa Islam bersinar di semenanjung sekitar abad ke-13 atau 14. Penelitian dibuat berdasarkan pada mata wang dinar emas yang ditemui di Kelantan tahun 1914 yang bertulis "Al-Julus Kelantan" dan angka Arab 577 H yang bersamaan dengan tahun 1181 M pada satu bahagian; dan pada bahagian sebelahnya bertulis "Al-Mutawakkil", iaitulah gelaran pemerintahan Kelantan pada masa itu. Malahan batu nisan tua bertulis Arab ditemukan di Kedah tahun 1963 pada makam Syeikh Abdul Kadir bin Syeikh Husin Shah Alam (w. 291 H). Kesemua ini menunjukkan bahawa abad ke 9 merupakan awal perkembangan Islam di kawasan Selat Melaka dan kawasan-kawasan yang menghadap ke Laut Cina Selatan, sebagaimana diakui Dinasti Sung (960-1279), bahawa masyarakat Islam telah tumbuh di sepanjang pantai Laut Cina Selatan.

Perkembangan Islam dan proses Islamisasi berlangsung melalui jalur perdagangan atas peranan para pedagang muslim dan mubaligh dari Arab dan Gujarat, para da’i setempat dan penguasa Islam. Sejak awal abad ke-7 Semenanjung Tanah Melayu dan Nusantara merupakan jalur perdagangan utama antara Asia Barat dan Timur Jauh serta kepulauan rempah-rempah Maluku. Semenanjung Tanah Melayu tidak dapat dipisahkan dari gugusan pulau-pulau Nusantara. Bila saudagar-saudagar Arab dan lainnya singgah di pelabuhan-pelabuhan Nusantara, mereka juga singgah di pelabuhan-pelabuhan di Semenanjung.
Proses perkembangan Islam terus berjalan baik dan kemudiannya membentuk komuniti-komuniti Islam serta melahirkan pusat-pusat pemerintahan Islam. Kerajaan Islam pertama di Semenanjung Tanah Melayu ialah Kerajaan Islam Kelantan (pertengahan abad ke-12).
Ini dapat dilihat pada batu bersurat yang ditemui di Kuala Berang (Terengganu) yang bertarikh 702 Hijrah, di mana tulisan bahasa Melayu huruf Arab tentang hukum syara' yang wajib dipatuhi oleh rakyat di Kerajaan Islam Terengganu pada abad ke-8 H. (abad ke-14 M), antara lain menyatakan: “Wajib di atas Muslimin patuh kepada undang-undang Tuhan karena ia adalah perintah-perintah Allah yang berkuasa lagi mulia dan mengeluarkan hukum-hukum seperti ini wajib di atas sekalian raja-raja Muslimin untuk kebaikan negeri-negeri mereka. “ Negeri Kelantan di kenali sebagai “Serambi Mekah.” Manakala Terengganu pada abad ke-14 menjadi pusat penyebaran Islam di pantai timur Semenanjung Tanah Melayu dan sampai sekarang disebut "Darul Iman" (Negeri Iman).
Kerajaan Islam terkuat dan berpengaruh besar dalam menyebarkan Islam di Malaysia adalah Kerajaan Islam Melaka yang berdiri pada awal abad ke-15. Menurut Sejarah Melayu, rajanya yang pertama iaitu Parameswara Iskandar Syah, yang memeluk Islam tahun 1414 dengan gelaran Sultan Muhammad Syah. Sultan ini dan iparnya Pangeran Abdul Malik Syah bertanggungjawab dalam menyebarkan Islam. Penguasa pertama Pahang adalah putera sultan Melaka. Melakalah yang mengislamkan Kedah, Patani (kini menjadi wilayah di Thailand) dan Kelantan. Demikian juga Rokan, Kampar, Siak dan Inderagiri di Sumatera, semuanya menerima Islam dalam kedudukannya sebagai wilayah kekuasaan Melaka pada abad ke-15.
Hal ini menjadikan Melaka sebagai pusat perdagangan dan kubu keimanan Islam. Kerajaan ini juga dicatat sebagai kerajaan pertama di Malaysia yang memiliki undang-undang tertulis yang disebut Undang-Undang Melaka. Menurut Prof. Ahmad Ibrahim (guru besar hukum di Universiti Islam Internasional Malaysia, Kuala Lumpur), "Di negeri-negeri Melayu sebelum masuknya pengaruh kerajaan British, undang-undang asas atau undang-undang negeri ialah undang-undang Islam bersama adat Melayu." Melaka, ibu kota Kerajaan Melaka, dikuasai Portugis (1511-1641), kemudian Belanda (1641- 1795) dan sejak 1795 diperintah oleh British. Menjelang akhir abad ke-19, British juga menduduki wilayah-wilayah lain di Semenanjung.. Meskipun demikian, Islam tetap berkembang. Sepanjang penjajahan British, wujud institusi pendidikan, samada yang tradisional yang dikenali sebagai "pondok" atau pun yang moden, seperti Ma'had Mahmud (Kedah), al-Ma'had al-Muhammadi (Kelantan), Madrasah al-Sultan Zainal Abidin (Terengganu), Ma'had Johor (Johor), Kulliah al-Lugah wa ad-Din (Pahang) dan Kolej Islam (Selangor).
Setelah pendudukan Jepun (1941-1942), pihak British membentuk Malayan Union (1 April 1946) yang kemudiannya bertukar kepada Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948. Seterusnya pada 31 Ogos 1957 Malaya memperoleh kemerdekaan dari British dan Islam ditetapkan sebagai agama rasmi. Pada16 September 1963 lahirlah pula Persekutuan Malaysia. Singapura menjadi anggota Persekutuan, tetapi memisahkan diri dan menjadi negara berdaulat penuh pada tahun 1965.
Di awal tahun 1980-an, Islam di Malaysia mengalami satu proses kebangkitan yang dapat dilihat dengan bersemaraknya kegiatan dakwah di semua peringkat, samada di pejabat, di padang bola, kilang, surau atau masjid. Oleh kerana kadar literasi sudah mulai meningkat, didapati semakin ramai orang Islam yang sudah boleh membaca dan memahami kandungan al-Qur’an yang boleh didapati terjemahannya dalam bahasa Melayu pada pertengahan 1970an. Malah terjemahan buku-buku mengenai Islam, gerakan Islam, dan kisah-kisah suka duka umat Islam di negara umat Islam oleh golongan intelek yang kembali dari timur tengah telah berjaya memperkayakan maklumat umat Islam untuk mendorong mereka mencetuskan satu proses tajdid yang panjang di Malaysia.
Berdasarkan kepada soroton sejarah secara ringkas ini, jelas menunjukkan bahawa “negara Islam” pernah wujud di Malaysia. Negara Islam yang dimaksudkan bukan sahaja pelaksanaan hukum hudud, tetapi merangkumi penghayatan Islam dalam urusan harian. Jika kita meneliti sorotan sejarah Islam di Malaysia, kita akan dapati bahawa perkataan “negara Islam” tidaklah menjadi sebutan yang popular pada masa lalu. Perkataan”negara Islam” dipopularkan kemudian oleh para alim ulama dan pimpinan gerakan Islam. Tetapi apa yang jelas ialah tercatat dalam sejarah di mana ada masyarakat, wilayah, negeri, dan negara yang melaksanakan pemerintahan dan pentadbiran cara Islam. Ini sudah cukup untuk melabelkan masyarakat, wilayah, negeri, dan negara berkenaan sebagai “negara Islam.”

**TuJuAN PoLiTiK MeNuRuT IsLaM**

Tujuan sistem politik Islam ialah untuk membangunkan sebuah sistem pemerintahan dan kenegaraan yang tegak di atas dasar untuk melaksanakan seluruh hukum syari'at Islam. Tujuan utamanya ialah untuk menegakkan sebuah negara Islam atau Darul Islam.

Dengan adanya pemerintahan yang mendukung syari'ah, maka akan tertegaklah al Din dan berterusanlah segala urusan manusia.menurut tuntutan tuntutan al Din tersebut.
Para fuqaha Islam telah menggariskan sepuluh perkara penting sebagai tujuan kepada sistem politik dan pemerintahan Islam.
  • Memelihara keimanan menurut prinsip prinsip yang telah disepakati oleh 'ulama' salaf daripada kalangan umat Islam
  • Melaksanakan proses pengadilan di kalangan rakyat dan menyelesaikan masalah di kalangan orang orang yang berselisih
  • Menjaga keamanan daerah daerah Islam agar manusia dapat hidup dalam keadaan aman dan damai
  • Melaksanakan hukuman hukuman yang ditetapkan syara' demi melindungi hak hak manusia
  • Menjaga perbatasan negara dengan pelbagai persenjataan bagi menghadapi kemungkinan serangan daripada pihak luar
  • Melancarkan jihad terhadap golongan yang menentang Islam
  • Mengendalikan urusan pengutipan cukai, zakat dan sedekah sebagai mana yang ditetapkan oleh syara'
  • Mengatur anggaran belanjawan dan perbelanjaan daripada perbendaharaan negara agar tidak digunakan secara boros ataupun secara kikir
  • Mengangkat pegawai pegawai yang cekap dan jujur bagi mengawal kekayaan negara dan menguruskan hal ehwal pentadbiran negara
  • Menjalankan pengaualan dan pemeriksaan yang rapi di dalam hat ehwal amam demi untuk memimpin negara dan melindungi al Din.

Tuesday, October 6, 2009

**MeRaWaT KeKeCeWaaN**

EKSPRESI cinta membuatkan ramai insan berasa begitu bahagia dan dihargai kerana ada seseorang yang sentiasa berdiri di belakang di kala semangat hidup semakin patah.
Bahkan cinta juga memberi kekuatan untuk meneruskan perjalanan yang selama ini bagaikan sudah kabur dan tiada arah tujuan. Namun, apabila lima perkataan itu - cinta - semakin pudar dek banyak halangan dan onak, anda terpaksa melupakannya. Rasa pedih dan patah hati apabila diri dikecewakan adalah ketentuan yang perlu ditempuhi. Biarpun terpaksa melupakannya untuk seketika atau selamanya, harus diingat itu semua bukan kehendak anda.

Mula-mula memang agak sukar untuk menerima kenyataan menempuh kekecewaan tetapi lama kelamaan, ia pasti boleh dihadapi.
Tidak dinafikan hidup ini sunyi tanpa cinta tetapi kena ingat, semuanya datang daripada-Nya. Takdir mengatasi segalanya dan kekuatan diri harus dibina untuk mampu berdiri dan terus melangkah bagi membina cinta, seterusnya yang lebih teguh sehingga bahagia selamanya.
* Latih minda melupakan kenangan pahit *
Bunyinya senang namun bagi yang menanggungnya, ia perlu dilakukan secara berterusan. Mengaku saja anda sering berasa sedih sebab banyak kali mengingat kenangan pahit atau selalu kembali ke memori silam yang sering melukakan. Untuk itu, anda harus mengatakan pada diri 'berhenti' mengingati kenangan melukakan itu terutama ia memberi kesan emosi yang mendalam dalam kehidupan kini. Mulai hari ini, tekad untuk melupakan semua itu sehingga membiarkan minda menjadi kosong. Tekadkan azam untuk memfokus kepada masa depan, cita-cita, keluarga, kerjaya, kewangan, keilmuan dan rakan. Anda tidak akan dapat melupakan semua memori pahit sekali gus tetapi lakukan perlahan-lahan dengan mengalihkan perhatian kepada perkara lain. Proses ini mengambil masa tetapi tidak mustahil dengan disiplin diri yang kuat, segalanya akan berubah.
 Buang sikap risau
Ada dua kesan daripada sikap risau. Pertama, ia menarik nasib tidak baik, masalah dan musibah tanpa anda pinta. Kedua, ia memberi kesan buruk pada kesihatan sama ada dari segi fizikal atau mental. Risau membuatkan diri selalu sedih dan kecewa, kadang-kadang takut. Untuk membuang sikap itu, belajar untuk bertenang dan latih diri anda mengawal keadaan. Sentiasa mengingati Allah SWT.
 Belajar bersyukur
Ucap syukur atas semua yang ada, apa saja! Misalnya, ucap syukur kerana anda masih ada lima deria yang lengkap, boleh melihat dan menarik nafas setiap kali bangun tidur. Syukur kerana ada keluarga yang memahami. Ucap syukur sebanyak mungkin dan seikhlas hati hingga rasa syukur itu meresap jauh ke dalam diri. Buat banyak kali dalam sehari.
 Belajar jadi pemaaf
Sikap pemaaf dapat membersihkan hati daripada perasaan dan emosi negatif (takut, sedih, kecewa, gusar, menyampah, marah, geram, cemburu, tidak puas hati, dendam atau busuk hati). Seterusnya, neutralkan gelombang fikiran negatif yang melekat bersarang di minda anda. Anda sebenarnya selalu sedih dan kecewa kerana tidak memaafkan kesalahan diri anda pada masa lalu ataupun tidak memaafkan kesalahan orang lain terhadap diri anda suatu ketika dulu. Mungkin juga anda susah menerima hakikat perbuatan salah orang lain yang membuatkan sering dibuai kesedihan, kekecewaan dan lara berpanjangan. Belajarlah menjadi pemaaf dan menghapuskan semua ini lalu menarik ketenangan datang pada diri anda.
 Ubah fikiran
Kita tidak boleh mengubah situasi yang boleh membuat diri kecewa, sedih dan murung. Tetapi, anda boleh mengubah fikiran dan apa yang anda fikirkan mengenai situasi itu walau seburuk manapun ia. Rahsianya, cari sinar mentari di sebalik mendungnya awan. Walaupun ia tidak berpihak kepada anda, cari cara untuk menemui nilai positif di dalamnya. Fikir yang baik-baik saja kerana ia memberi keuntungan jangka panjang. Rezeki anda murah dan segala yang baik-baik datang sendiri pada anda. Anda menjadi apa yang anda mahukan.Mengapa fikir perkara buruk sedangkan anda boleh menarik semua yang baik-baik? Fikir yang buruk, anda dapat yang buruk. Ini hukum alam yang dinamakan hukum 'sebab dan akibat'.
 Hati mesti 'keras'
Bukan keras sebarangan, maksudnya kekerasan hati, kesabaran tinggi, pandai mengawal emosi dan menerima hakikat dengan hati terbuka. Allah SWT menurunkan musibah dan permasalahan bukan sekadar dugaan tetapi balasan pada perbuatan anda pada masa lalu. Sebelum tidur, tetapkan minda untuk jadi ceria pada keesokan harinya. Lafazkan dengan nada berbisik. Relaks, jangan terlalu mendesak diri. Selepas bangun tidur, katakan pada diri, ini adalah hari yang baru untuk anda. Tekadkan diri untuk menjadikan hari yang baru itu hari yang baik, sungguh baik serta sebaik yang mungkin daripada hari sebelumnya.

Monday, October 5, 2009

**SKoLiOSiS..??**

Pengenalan
Tulang belakang membantu menyokong badan berkedudukan tegak.
Setiap orang mempunyai bengkokkan semula jadi di mana sedikit daripada bengkokkan itu diperlukan untuk mengimbangi kedudukan badan, bergerak dan berjalan dengan sempurna.
Apakah skoliosis?
Ia adalah satu keadaan di mana tulang belakang membengkok secara berlebihan pada arah yang tidak betul.
Istilah skoliosis diambil daripada perkataan Greek yang bermaksud 'bengkok'.
Melalui X-ray tulang belakang akan kelihatan seperti huruf S atau C yang sepatutnya kelihatan lurus.
Siapakah yang menghidap skoliosis?
Kanak-kanak
'Infantile scoliosis' - Berlaku pada kanak-kanak berumur di bawah 3 tahun. Mungkin disebabkan oleh:
Kecacatan sejak lahir
Penyakit saraf dan otot (distropi otot atau cerebral palsy)
Kecederaan
Jangkitan
Ketumbuhan
'Juvenile scoliosis' - Berlaku pada kanak-kanak berumur 3 - 10 tahun. Ia jarang berlaku.
Remaja
'Adolescent idopathic scoliosis' - skoliosis yang tidak di ketahui puncanya.
Ia terjadi selepas seseorang itu berumur lebih daripada 10 tahun dan kerap di temui.
Dewasa
Skoliosis dewasa berpunca daripada penyakit yang dihadapi semasa kanak-kanak tetapi gagal di kesan atau di rawat pada peringkat awal.
Selalunya ia bermula dengan keabnormalan yang sederhana dan akan menjadi lebih teruk kerana tidak dirawat.
Boleh juga berlaku akibat dari proses penuaan.
Faktor keturunan
Jika ada ahli keluarga mendapat skoliosis kemungkinan ahli keluarga yang lain menghidapi skoliosis agak tinggi iaitu hampir 20%.
Jika ada ahli keluarga yang mengalami masalah pembengkokan tulang belakang yang tidak normal, sila berjumpa doktor untuk pemeriksaan.

Punca-punca skoliosis
-Kebanyakannya tidak di ketahui.
-Kebanyakan kes-kes berlaku sejak lahir akibat kecacatan tulang belakang kongenital.
Ia tidak berpunca dari:
-Duduk membongkok
-Duduk dalam keadaan janggal
-Tidur di atas tilam lama atau nipis
Skoliosis selalunya lebih menonjol atau menjadi lebih teruk semasa fasa pertumbuhan mendadak di alam remaja.
Gejala-gejala
-Selalunya tidak sakit pada usia remaja dan belia.
-Kesakitan selalunya berlaku ketika alam dewasa jika tidak di rawat.
-Aduan utama pesakit adalah kecacatan bentuk badan.
Tanda - tanda lain termasuk:
-Penstrukturan otot belakang yang tidak sama rata
-Penonjolan tulang bahu
-Aras pinggul dan bahu yang tidak sama antara kanan dan kiri
-Kedudukan atau saiz payudara yang tidak sama
-Panjang jarak tangan di sisi badan kiri dan kanan tidak sama
-Baju yang dipakai kelihatan senget
Jika dibiarkan tanpa rawatan:

Skoliosis dewasa yang teruk akan menyebabkan:
-Sakit belakang yang berpanjangan
-Kecacatan bentuk badan
-Kesukaran bernafas

Rawatan

Bagi kes skoliosis ringan, pemerhatian berkala akan dibuat oleh doktor sehingga tahap kematangan tulang hampir sempurna.
Doktor akan memeriksa perkembangannya untuk memastikan pembengkokan tulang belakang tidak menjadi teruk
Pesakit akan diminta untuk rawatan ulangan setiap 3 ke 6 bulan
Peralatan khas untuk menyokong tulang belakang ("Bracing")
Matlamat utama adalah untuk menghalang tulang belakang menjadi lebih bengkok
Doktor akan mencadangkan untuk memakai peralatan khas (braces) yang sesuai

Pembedahan
Akan dicadangkan kepada pesakit yang mengalami skoliosis yang teruk
Pembedahan memerlukan penanaman tulang yang diambil daripada tulang pinggul dan rusuk
Skru, wayar dan besi khas akan digunakan untuk meluruskan kembali tulang belakang tersebut
Selepas pembedahan pesakit boleh berjalan tanpa memakai "braces" badan hari ke-2 atau ke-3
Pesakit akan dibenarkan pulang dalam masa seminggu, seterusnya boleh melakukan aktiviti-aktiviti harian seperti biasa
Bersukan dibenarkan selepas 6 ke 9 bulan selepas pembedahan

Petua-petua untuk ibu bapa mengesan skoliosis di peringkat awal:

Skoliosis yang tidak di ketahui puncanya ("idiopathic scoliosis") selalunya gagal dikesan pada kanak-kanak kerana ia tidak sakit pada peringkat awal. Ibu bapa seharusnya berwaspada dan lebih mengambil berat ketika usia anak menjangkau 8 tahun ke atas.

Tanda - tanda yang dapat dilihat pada anak anda:
-Bahu kelihatan tidak sama tinggi
-Salah satu bahagian bahu kelihatan lebih menonjol
-Pinggang kelihatan senget sebelah
-Pinggul kelihatan tinggi sebelah
-Struktur badan membengkok ke arah sebelah sahaja
-Jika terdapat salah satu tanda di atas, sila berjumpa doktor dengan segera.

**aSaS M'BeNTuK ReMaJa B'AkHLaK MuLiA**

ZAMAN remaja adalah masa peralihan yang menghubungkan antara alam kanak-kanak yang tidak matang ke alam dewasa yang lebih matang. Corak peralihan pelbagai akan membawa pelbagai pengaruh kepada individu yang mengalaminya. Setiap remaja sewajarnya diasuh untuk mempersiapkan dirinya sebagai khalifah Allah.
Tujuan hidup yang tidak bercanggah dengan kehendak Islam hendaklah disemai dalam diri seorang remaja sejak awal lagi supaya mereka berjaya dan maju sebagai generasi cemerlang dan diberkati.
Jika pembentukan remaja tidak berlaku dengan sempurna, maka pembangunan negara akan terjejas kerana golongan remajalah bakal menjadi pemimpin pada masa akan datang.
Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Setiap anak yang dilahirkan adalah putih bersih, maka terpulanglah kepada kedua ibu bapanya untuk menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi." - (Riwayat Bukhari).
Ketika ini, masalah sosial di kalangan remaja amat membimbangkan. Boleh dikatakan keruntuhan akhlak remaja bagaikan seiring dengan pembangunan negara.
Ini dapat dilihat melalui pembangunan yang hampir ke kemuncaknya, akhlak remaja juga kian jatuh dan bagaikan tidak dapat dibendung lagi.
Antara masalah sosial yang sering dilakukan remaja pada hari ini ialah seks bebas, lari dari rumah, pembuangan bayi, penagihan atau pengedaran dadah, ponteng sekolah, mengugut, menubuhkan kumpulan haram dan sebagainya. Sesungguhnya, masalah sosial remaja pada hari ini disebabkan beberapa faktor.
Antaranya persekitaran berubah secara mendadak terutama pengaruh media cetak dan elektronik yang saban hari memaparkan mengenai eksploitasi terhadap wanita serta kebebasan remaja yang keterlaluan dan banyak mempengaruhi pemikiran anak-anak terutama yang baru meningkat remaja.
Selain itu, faktor kurangnya didikan agama dan kasih sayang daripada ibu bapa, perasaan mahu mencuba serta desakan atau pengaruh daripada rakan sebaya.
Sebenarnya, masalah remaja adalah masalah kita bersama. Oleh itu gandingan yang mantap dan kerjasama erat antara ibu bapa, guru, rakan sebaya dan anggota masyarakat amat diperlukan dalam menangani masalah remaja.
1. Peranan Ibu bapa
Firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Selamatkan diri kamu dan anggota keluarga kamu daripada api neraka." - (Surah At-Tahrim ayat 6).
Anak-anak adalah amanah Allah kepada kita. Didikan awal kepada anak-anak amat mustahak dalam kita merencanakan masa depan hidup mereka kerana mengabaikannya bererti akan merosakkan ahli masyarakat seluruhnya.
Antara panduan keibubapaan yang digariskan Islam ialah: -
*Ibu bapa menjadi model yang salih dengan menghayati dan mengamalkan ajaran Islam sebenar. Ibu bapa salih adalah model terbaik untuk memberi pendidikan agama kepada anak-anak. Didik dan biasakanlah anak-anak dengan tingkah laku dan kegiatan yang baik sejak anak kecil.
*Mendisiplinkan anak dengan kasih sayang bukan kekerasan kerana ini akan menjadikan mereka berasa senang hati dan gembira untuk melakukan sesuatu perkara positif. Anak juga perlu dilatih membuat kebajikan dan pada masa yang sama menerima ganjaran atau pujian.
*Memenuhi masa lapang bersama anak seperti sembahyang berjemaah, makan, membaca al-Quran dan bersukan. Hubungan akrab ibu bapa dan anak akan memudahkan anak taat perintah ibu bapa kerana sudah wujud perasaan saling hormat antara satu sama lain.
*Ibu bapa perlu bijak membaca setiap pergerakan anak. Simbol atau isyarat tertentu boleh memberi gambaran tahap perkembangan anak. Kemahiran ini perlu dipelajari ibu bapa dari semasa ke semasa.
*Kesabaran juga amat perlu dalam diri ibu bapa kerana tiap-tiap anak walaupun dalam satu keluarga, mempunyai personaliti yang unik dan berbeza antara satu sama lain.
2. Peranan Guru
Dalam proses pendidikan, kita seharusnya mengambil iktibar dengan mencontohi asas pendidikan dilakukan Rasulullah. Baginda bersabda yang bermaksud: "Salah satu cara terbaik untuk membentuk akhlak mulia ini ialah dengan cara pendidikan."
Dalam hal ini, antara fungsi penting guru ialah: -
*Menjadi 'Qudwah Hasanah' atau contoh teladan baik. Setiap tingkah laku guru hendaklah dijaga kerana setiap inci pergerakan guru akan menjadi ikutan.
*Memiliki sifat amanah, dedikasi, komited pada tugas, ikhlas, sanggup berkorban masa dan tenaga.
*Mengamalkan sikap suka membantu serta membimbing dan berperanan sebagai 'role model' kepada pelajar.
*Penampilan dan penerimaan guru terhadap konsep berilmu, beramal dan berakhlak yang sebenar-benarnya.
*Bersedia bekerjasama dengan ibu bapa dalam usaha membentuk insan Rabbani.
3. Peranan Rakan Sebaya
Dari sudut psikologi, peringkat remaja adalah peringkat paling berpengaruh dalam kehidupan mereka. Pada peringkat inilah, pengaruh rakan sebaya paling kuat dan paling diterima.
Mereka lebih rela menceritakan dan mencurahkan perasaan kepada rakan berbanding ibu bapa, guru atau orang dewasa lain. Oleh itu, pendekatan logikal ialah menggunakan remaja untuk mempengaruhi remaja lain.
Program Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) dapat memenuhi hasrat ini dengan syarat mereka dilatih dan diselia dengan teratur.
Oleh itu adalah disarankan supaya pemilihan dan perkembangan latihan ahli PRS hendaklah dipantau bersama kedua-dua pihak iaitu pihak sekolah dan juga ibu bapa.
4. Peranan Anggota Masyarakat
Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud: "Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai berai." - (Surah Ali Imran, ayat 103).
Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Hubungan orang mukmin dengan orang mukmin lain adalah seperti sebuah bangunan yang menguatkan antara satu sama lain." - (Riwayat at-Tabarani).
Ayat ini menjelaskan bahawa kerjasama anggota masyarakat amat penting untuk menciptakan lingkungan yang baik bagi perkembangan dan pertumbuhan remaja yang sihat.
Antara perkara yang boleh dilakukan masyarakat setempat ialah:-
*Mewujudkan sebuah organisasi belia remaja yang dapat menentukan peranan mereka dalam pelbagai bidang sebagai persediaan menentukan corak pembangunan negara pada masa akan datang.
*Mengaktifkan peranan badan bukan kerajaan (NGO) tempatan untuk melatih belia remaja aktif dalam berpersatuan. Ia adalah jambatan yang menghubungkan mereka secara langsung dengan masyarakat, sekali gus menghindarkan mereka dari melakukan kerja-kerja yang tidak berfaedah.
*Wujudkan kerjasama dan persefahaman yang erat antara ahli dalam sesuatu kariah melalui kegiatan gotong-royong dan seumpamanya supaya anggota masyarakat setempat dapat saling mengenali antara satu sama lain serta dapat mewujudkan perasaan mengasihi anak jiran seperti mana dia mengasihi anaknya sendiri.
*Memartabatkan seluruh institusi keagamaan Islam (mahkamah atau perundangan, pendidikan masjid, zakat dan badan dakwah dan NGO lain) supaya peranan dan fungsi institusi berkaitan dapat direalisasikan dengan berkesan.
*Menggesa sektor pekerjaan sama ada kerajaan, swasta atau korporat untuk menzahirkan budaya kerja dan budaya hidup sihat di kalangan pekerja mereka.
Ia boleh dilakukan dengan mengambil kira faktor seperti penjadualan, kegiatan kekeluargaan, hari kelepasan dan lain-lain. Walaupun usaha pelbagai pihak diperlukan bagi membendung gejala sosial di kalangan remaja, sesuatu yang pasti ialah memohon pertolongan dan petunjuk daripada Allah.
Ini kerana hidayah Allah juga faktor terpenting mempengaruhi pemulihan dan kemurnian akhlak seseorang. Nabi Nuh gagal memujuk isteri dan anaknya memeluk Islam. Begitu juga Rasulullah gagal memujuk bapa saudaranya, Abu Talib kembali ke pangkuan Islam.
Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya engkau (Wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasih (supaya ia menerima Islam) tetapi Allah jua yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakinya, dan dialah jua yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk." - (Surah Al-Qasas, ayat 56).