Saturday, October 17, 2009

**SaMPai sYuRGa..**

Pasangan yang bercinta, mereka mencari syurga. Mencari bahagia dan kepuasan santapan jiwa. Biar runtuh awan di langit, biar gegar di lantai bumi, lautan api sanggup direnangi. Itulah kuasa cinta. Pengorbanan yang ditawarkan demi sebuah cinta, yang menjanjikan bahagia.

Tiada insan yang sengaja mencari derita. Seperti ikan mencari air, si dahaga mendamba seteguk minum, mata mengantuk mencari bantal, demikianlah setiap insan mengerumuni cinta. Demi sesuatu yang menjanjikan bahagia.

Namun dalam asyiknya manusia bercinta, di kala itu jualah manusia semakin derita. Rumahtangga musnah, hidup berantakan. Tatkala inai masih di jari, anak belum pun sempat berdiri, tiang rumah dan tangga cinta roboh dirempuh badai.

Luar biasa…
Mereka bukan dipaksa menerima. Kahwin itu bukan kahwin dera atau kahwin paksa. Ia adalah cinta sama cinta, suka sama suka. Jika kedua belah pihak sudah saling menerima dan kenal isi kulit pasangan sehati sejiwa, di manakah cacat di manakah celanya hingga hujan tidak sempat menunggu petang?
Bukankah syurga dunia yang dibina itu mahu dilangsungkan hingga ke Syurga Sana?
Pada hari itu teman-teman akrab setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang perhubungannya berdasarkan Taqwa [al-Dzukhruf 43: 67]
Itulah realitinya.
Bahawa biar sehangat mana pun cinta yang membakar perhubungan dua insan yang berkasih sayang, mereka akan menjadi musuh di antara satu sama lain di padang Mahsyar. Jika dahulunya mereka menolak pertolongan yang ditawarkan demi kebahagiaan sebenar, hari itu mereka pula saling bermusuh dengan permusuhan yang tidak lagi mampu ditolong.
Mengapa cinta menjadi permusuhan?
Apakah yang menguji manusia di Mahsyar hingga pasangan yang akrab menjadi musuh yang saling mementingkan diri?
Sesungguhnya Mahsyar itu mengheret manusia kepada sebuah TEKANAN. Itulah ujian terbesarnya. Segala yang didustakan selama ini terbentang di depan mata. Barulah kelihatan kesan segala perbuatan. Bahawa dunia memang sementara, namun kesan amal berkekalan selamanya. Dan hari Mahsyar itu setiap insan berada di bawah TEKANAN yang maha dahsyat.
Ibu sanggup menggadaikan anak demi untuk menyelamatkan diri.
Dua kekasih sanggup mengorbankan pasangannya demi terbebas dari seksaan yang sedang menanti.
Dalam keadaan yang begitu terdesak dan penuh tekanan, cinta berubah menjadi permusuhan.

Dua kekasih saling menyerang pasangan masing-masing, mementingkan diri, demi sebuah keselamatan.

Kecuali manusia bertaqwa.

Wahai pasangan yang bermadu kasih, ingatkah kalian pada khutbah yang mengiringi lafaz AKU TERIMA NIKAHNYA suatu hari dahulu? Tiga ayat yang dibacakan kepadamu, segalanya berbicara tentang TAQWA.

Pesan itu adalah pesan Tuhanmu. Pesan yang disampaikan di lisan Nabimu. Pesan yang diperpanjangkan kepada khutbah nikahmu. Bahawa tiada bahagia tanpa taqwa. Hanya derita pemusnah cinta, manusia tersungkur di pantai derita, meneguk neraka dunia sebelum Neraka di Sana.
Neraka dunia yang menghancurkan bahagia datang bersama tekanan. Ujian yang amat menghimpit beban. Soal anak, soal pekerjaan, soal keinginan, soal ketidakpuasan, soal kemahuan, soal kesangsian. Rumahtangga yang belayar di tasik madu, menjelang senja dihiris sembilu.
“Lepaskan saya. Saya sudah tidak sanggup lagi,” bentak isteri yang terbeban oleh tekanan perasaan.
“Sabarlah isteriku. Mari duduk mencari petunjuk,” pujuk suami dengan linangan air mata.
Anak-anak menggeletar terperosok di sudut gementar. Melihat ayah dan ibu bergaduh cakar mencakar.
“Bukankah kami hadir kerana cintamu?” bisik si anak kepada hatinya, merayu kepada Tuhan agar mendamaikan sepasang insan tempat dirinya berpaut hidup.
“Sudah-sudah. Tidak perlu dibincang-bincangkan lagi. Lepaskan saya. Hantarkan saya balik ke rumah emak di kampung!” si isteri terus mengamuk.
“Bagaimana dengan anak-anak kita?” suami merenung wajah anak-anak yang kebingungan. Terasa hangat pipi dihujani hiba.
“Semuanya salah abang. Sudah berapa kali saya beri peluang. Abang masih tidak berubah. Abang bekerja untuk keluarga, hingga hancur keluarga. Kalau selama ini kami bahagia tanpa abang, kenapa perlu lagi saya menderita menanti abang. Saya ada cita-cita sendiri!” si isteri mengesat wajahnya dengan lengan. Kata-katanya penuh simpang siur perasaan. Tidak pasti apa yang dimahukan. Kecuali sebuah penceraian…

Tekanan bukan sahaja menjadikan seorang kekasih memusuhi kekasihnya di Akhirat, bahkan tekanan itu juga menghilangkan cinta tatkala menempuh kehidupan dunia. Hingga tidak sempat-sempat menuju penceraian, semata-mata ingin lari daripada sebuah tekanan.
Itulah yang banyak berlaku hari ini.
Pelik sekali, setelah ghairah bercinta kita melangkah ke alam rumahtangga. Belum sempat anak membesar bergegas pula menuju penceraian. Dan janggal sekali, selepas bercerai barulah timbulnya damai. Boleh keluar makan bersama, boleh bergilir melayan anak-anak. Suami isteri payah serasi, biar sekadar teman yang mesra. Semuanya kerana gagalnya manusia, menguruskan tekanan, realiti kehidupan.
Justeru wahai insan yang mabuk cinta, siasatlah benang yang menyulam kasihmu. Apakah ia sebuah taqwa, atau cinta buta yang tidak berpijak di bumi nyata? Sesungguhnya cinta yang tidak bersendikan taqwa adalah cinta yang berakhir dengan permusuhan. Jika tidak di neraka dunia, pastinya Neraka abadi di alam Sana.

Tidak mungkin Syurga di Akhirat menjadi habuan kita, andai dunia bersalut neraka. Dunia ladang Akhirat, apa yang disemai pada hidup yang sementara ini, itulah tuaian di Akhirat yang kekal abadi.
Berjuanglah berbekalkan taqwa untuk mengharungi epilog sebuah cinta, hingga terkecap syurga dunia.
Berjuanglah sampai mengecap bahagia perjuangan, rumahku syurgaku, baiti jannati…
Kejayaan bukan sebuah destinasi, ia adalah sebuah perjalanan.Bercintalah sampai ke Syurga, wahai dua insan bercinta.

2 comments:

nurkasih said...

Pernah hatiku luka pedih
Kerana dicalari cinta penuh duri
Lemas aku dalam dilema
Kata janji manis sungguh tak bermakna

Mencarimu kasih bagai mencari mutiara putih
Walau ke dasar lautan sanggup ku selami
Namun tak percaya apa yang telah aku terjumpa
Kau sebutir pasir tak berharga

Demi cinta yang suci
Ku rela korbankan kepentingan diri
Demi sinar bahagia
Ku hambakan diri pada-Nya yang Esa

Baru kini ku rasai nikmatnya cinta yang suci
Tiada terbanding dengan cinta yang kau beri
Ranjau yang berduri akan aku tabah menempuhnya
Menyubur iman di dalam jiwa

Demi cinta yang suci
Ku rela korbankan kepentingan diri
Demi sinar bahagia
Ku hambakan diri pada-Nya yang Esa
Demi cinta hakiki
Ku sanggup redahi apa yang terjadi

Apalah erti cinta suci
Andai janji-janji sering dimungkiri
Apalah erti cinta murni
Andai kata-kata sering didustai

nurkasih said...

Bagi pandangan ana, salah satu sebab timbulnya pergolakan rumahtangga adalah kerana kurangnya kefahaman erti “cinta” yg sebenar. Apa itu “cinta”? kemana “cinta” itu pergi? Dan apakah tujuan “cinta” yg sebenar?, bg pandangan pasangan2 tersebut.

“Cinta kepada isteri @ suami melebihi cinta kepada Allah”:

Berapakah lamanya masa yg diluangkan bersama dgn isteri @ suami berbanding masa yg diluangkan bersama dgn Allah? (hanya solat 5 waktu utk Allah, x sampai 1 jam jika dikira, selebihnya bersama pasangan)

Berapakah byknya wang yg dihabiskan utk isteri @ suami berbanding wang yg dikeluarkan utk jln Allah? (selalu gi shopping, beli kereta, rumah, tp utk pembangunan masjid xde, tabung masjid isi singgit je)

Berapa besarnya pengorbanan utk isteri @ suami berbanding pengorbanan yg ditunjukkan utk Allah? (sebelum kahwin, sanggup jumpe bakal isteri @ suami jauh2, naik bus 9 jam, tp utk Allah, hanya solat di rumah, tidak ke masjid, walau 5 minit perjalanan)

Itulah sebabnya, kita terlalu kecewa, sedih dan boleh jadi gila apabila ditinggalkan oleh pasangan kita, sebab, cinta kita kpd isteri @ suami @ pasangan melebihi cinta kita kpd Allah.

Kalaulah pd mulanya, kita menanamkan cinta kita hanya pd Allah, nescaya kita akan tabah dan redha dgn ketentuanNya, kerana kita hanya ditinggalkan oleh seorang insan yg x tahu isi hatinya yg sebenar, bukannya ditinggalkan oleh yg Maha Mencintai, so x perlulah sedih krn kita masih ada Dia.

Ingatlah bahawa, seorang insan itu tidak kira bakal suami @ isteri, dia pasti akan menilai dan memilih kita berdasarkan paras rupa, kecantikkan, harta, pangkat, keturunan dan lain2 yg boleh memuaskan hatinya, akan tetapi lupakah kita bahawa yg Maha Penyayang tidak pandang sume tue?

Biarlah kita nie gemuk, kulit gelap, berjerawat, tidak cerdik, dan miskin sekalipun, jika kita ikhlas memberikan cinta kita kpdNya, pasti Dia akan menerimanya, krn Dialah yg Maha Pengasih, Maha Penyayang lg Maha Mencintai.

Carilah ketenangan bersama dgn Allah, dan sudah pasti, suatu hari nnt, kebahagiaan yg dinanti bersama dgn pasangan, pasti akan datang jua akhirnya. Percayalah, bahawa ketenangan itu lebih bermakna dr kebahagiaan.