Thursday, October 8, 2009

**IsU NeGaRa IsLaM**

SOROTAN SEJARAH ISLAM dan “NEGARA ISLAM” DI MALAYSIA

Sebelum Islam sampai ke Tanah Melayu, Melaka berada di bawah pengaruh Sriwijaya dan kemudian Majapahit. Menurut para ahli sejarah Malaysia, Islam sampai ke semenanjung ini sebelum abad ke-12. Ini berbeza dengan pendapat para penulis Barat yang menyatakan bahawa Islam bersinar di semenanjung sekitar abad ke-13 atau 14. Penelitian dibuat berdasarkan pada mata wang dinar emas yang ditemui di Kelantan tahun 1914 yang bertulis "Al-Julus Kelantan" dan angka Arab 577 H yang bersamaan dengan tahun 1181 M pada satu bahagian; dan pada bahagian sebelahnya bertulis "Al-Mutawakkil", iaitulah gelaran pemerintahan Kelantan pada masa itu. Malahan batu nisan tua bertulis Arab ditemukan di Kedah tahun 1963 pada makam Syeikh Abdul Kadir bin Syeikh Husin Shah Alam (w. 291 H). Kesemua ini menunjukkan bahawa abad ke 9 merupakan awal perkembangan Islam di kawasan Selat Melaka dan kawasan-kawasan yang menghadap ke Laut Cina Selatan, sebagaimana diakui Dinasti Sung (960-1279), bahawa masyarakat Islam telah tumbuh di sepanjang pantai Laut Cina Selatan.

Perkembangan Islam dan proses Islamisasi berlangsung melalui jalur perdagangan atas peranan para pedagang muslim dan mubaligh dari Arab dan Gujarat, para da’i setempat dan penguasa Islam. Sejak awal abad ke-7 Semenanjung Tanah Melayu dan Nusantara merupakan jalur perdagangan utama antara Asia Barat dan Timur Jauh serta kepulauan rempah-rempah Maluku. Semenanjung Tanah Melayu tidak dapat dipisahkan dari gugusan pulau-pulau Nusantara. Bila saudagar-saudagar Arab dan lainnya singgah di pelabuhan-pelabuhan Nusantara, mereka juga singgah di pelabuhan-pelabuhan di Semenanjung.
Proses perkembangan Islam terus berjalan baik dan kemudiannya membentuk komuniti-komuniti Islam serta melahirkan pusat-pusat pemerintahan Islam. Kerajaan Islam pertama di Semenanjung Tanah Melayu ialah Kerajaan Islam Kelantan (pertengahan abad ke-12).
Ini dapat dilihat pada batu bersurat yang ditemui di Kuala Berang (Terengganu) yang bertarikh 702 Hijrah, di mana tulisan bahasa Melayu huruf Arab tentang hukum syara' yang wajib dipatuhi oleh rakyat di Kerajaan Islam Terengganu pada abad ke-8 H. (abad ke-14 M), antara lain menyatakan: “Wajib di atas Muslimin patuh kepada undang-undang Tuhan karena ia adalah perintah-perintah Allah yang berkuasa lagi mulia dan mengeluarkan hukum-hukum seperti ini wajib di atas sekalian raja-raja Muslimin untuk kebaikan negeri-negeri mereka. “ Negeri Kelantan di kenali sebagai “Serambi Mekah.” Manakala Terengganu pada abad ke-14 menjadi pusat penyebaran Islam di pantai timur Semenanjung Tanah Melayu dan sampai sekarang disebut "Darul Iman" (Negeri Iman).
Kerajaan Islam terkuat dan berpengaruh besar dalam menyebarkan Islam di Malaysia adalah Kerajaan Islam Melaka yang berdiri pada awal abad ke-15. Menurut Sejarah Melayu, rajanya yang pertama iaitu Parameswara Iskandar Syah, yang memeluk Islam tahun 1414 dengan gelaran Sultan Muhammad Syah. Sultan ini dan iparnya Pangeran Abdul Malik Syah bertanggungjawab dalam menyebarkan Islam. Penguasa pertama Pahang adalah putera sultan Melaka. Melakalah yang mengislamkan Kedah, Patani (kini menjadi wilayah di Thailand) dan Kelantan. Demikian juga Rokan, Kampar, Siak dan Inderagiri di Sumatera, semuanya menerima Islam dalam kedudukannya sebagai wilayah kekuasaan Melaka pada abad ke-15.
Hal ini menjadikan Melaka sebagai pusat perdagangan dan kubu keimanan Islam. Kerajaan ini juga dicatat sebagai kerajaan pertama di Malaysia yang memiliki undang-undang tertulis yang disebut Undang-Undang Melaka. Menurut Prof. Ahmad Ibrahim (guru besar hukum di Universiti Islam Internasional Malaysia, Kuala Lumpur), "Di negeri-negeri Melayu sebelum masuknya pengaruh kerajaan British, undang-undang asas atau undang-undang negeri ialah undang-undang Islam bersama adat Melayu." Melaka, ibu kota Kerajaan Melaka, dikuasai Portugis (1511-1641), kemudian Belanda (1641- 1795) dan sejak 1795 diperintah oleh British. Menjelang akhir abad ke-19, British juga menduduki wilayah-wilayah lain di Semenanjung.. Meskipun demikian, Islam tetap berkembang. Sepanjang penjajahan British, wujud institusi pendidikan, samada yang tradisional yang dikenali sebagai "pondok" atau pun yang moden, seperti Ma'had Mahmud (Kedah), al-Ma'had al-Muhammadi (Kelantan), Madrasah al-Sultan Zainal Abidin (Terengganu), Ma'had Johor (Johor), Kulliah al-Lugah wa ad-Din (Pahang) dan Kolej Islam (Selangor).
Setelah pendudukan Jepun (1941-1942), pihak British membentuk Malayan Union (1 April 1946) yang kemudiannya bertukar kepada Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948. Seterusnya pada 31 Ogos 1957 Malaya memperoleh kemerdekaan dari British dan Islam ditetapkan sebagai agama rasmi. Pada16 September 1963 lahirlah pula Persekutuan Malaysia. Singapura menjadi anggota Persekutuan, tetapi memisahkan diri dan menjadi negara berdaulat penuh pada tahun 1965.
Di awal tahun 1980-an, Islam di Malaysia mengalami satu proses kebangkitan yang dapat dilihat dengan bersemaraknya kegiatan dakwah di semua peringkat, samada di pejabat, di padang bola, kilang, surau atau masjid. Oleh kerana kadar literasi sudah mulai meningkat, didapati semakin ramai orang Islam yang sudah boleh membaca dan memahami kandungan al-Qur’an yang boleh didapati terjemahannya dalam bahasa Melayu pada pertengahan 1970an. Malah terjemahan buku-buku mengenai Islam, gerakan Islam, dan kisah-kisah suka duka umat Islam di negara umat Islam oleh golongan intelek yang kembali dari timur tengah telah berjaya memperkayakan maklumat umat Islam untuk mendorong mereka mencetuskan satu proses tajdid yang panjang di Malaysia.
Berdasarkan kepada soroton sejarah secara ringkas ini, jelas menunjukkan bahawa “negara Islam” pernah wujud di Malaysia. Negara Islam yang dimaksudkan bukan sahaja pelaksanaan hukum hudud, tetapi merangkumi penghayatan Islam dalam urusan harian. Jika kita meneliti sorotan sejarah Islam di Malaysia, kita akan dapati bahawa perkataan “negara Islam” tidaklah menjadi sebutan yang popular pada masa lalu. Perkataan”negara Islam” dipopularkan kemudian oleh para alim ulama dan pimpinan gerakan Islam. Tetapi apa yang jelas ialah tercatat dalam sejarah di mana ada masyarakat, wilayah, negeri, dan negara yang melaksanakan pemerintahan dan pentadbiran cara Islam. Ini sudah cukup untuk melabelkan masyarakat, wilayah, negeri, dan negara berkenaan sebagai “negara Islam.”

No comments: