Thursday, October 8, 2009

**IsU PeNDiDiKaN AnAK-AnAk**


Menurut ajaran Islam anak adalah amanah Allah yang dikurniakan kepada ibubapa. Ia juga merupakan cahayamata yang sangat diingini dan dikehendaki oleh sesebuah keluarga terutama dalam meneruskan bakti terhadap agama, bangsa dan negara, dan juga untuk memikul tanggungjawab menjaga dan memimpin keluarga terutama apabila ibubapa sudah berada di peringkat umur yang tua.

Islam meletakkan tanggungjawab ke atas ibubapa untuk memelihara anak-anak dengan sempurna termasuklah makan minum, pakaian, tempat tinggal; malah memberi pendidikan dan memperkuatkan iman serta akhlak yang mulia. Dalam sebuah Hadith, Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud:

"Ajarlah anak kamu tiga perkara: Mencintai Nabi kamu, mencintai kaum keluarganya dan membaca Al-Quran".

Islam menjelaskan tanggungjawab ibubapa kepada anak-anak dan juga memberi penghargaan yang tinggi dan meletakkan kedudukan ibubapa begitu mulia. Firman Allah S.W.T. dalam Surah Al-Isra' ayat 23 & 24 yang bermaksud:

"Dan Tuhan telah memerintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibubapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun berkata "Ha" dan janganlah engkau menengking, menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil".

Oleh itu penggunaan teknik komunikasi yang berkesan adalah penting untuk membina keluarga bahagia. Setelah anak-anak kita diberi pendidikan Islam dan mengenal Allah secukupnya, mereka hendaklah diajar tentang tatasusila pergaulan dan berkomunikasi dengan orang lain.

Sebenarnya, pergaulan atau cara berkomunikasi itu bermula dari rumah dan buruk atau baik pergaulan itu adalah bergantung kepada pergaulan dan cara berkomunikasi yang ditunjukkan oleh para ibubapa ketika di rumah. Ini kerana anak-anak akan mencontohi pola-pola pergaulan dari ibubapa ketika mereka berinteraksi sesama mereka. Dalam Islam, pergaulan anak-anak dengan Allah mestilah diajar lebih awal. Maka itu, Rasulullah (s.a.w) telah menceritakan kepada ibubapa supaya menyuruh anak-anak mereka mendirikan solat ketika berusia seawal tujuh tahun dan sekiranya mereka ingkar hendaklah dipukul secara wajar sebagaimana menurut sebuah hadis baginda, riwayat oleh al Hakim dan Abu Daud bermaksud:

`...suruhlah anak-anakmu mengerjakan solat pada usia tujuh tahun. Pukullah mereka jika mereka masih engkar setelah berusia 10 tahun dan pisahkanlah tempat tidur mereka....'

Selain dari itu, pergaulan sesama adik-beradik juga hendaklah sentiasa diawasi supaya perilaku yang mencemar nama baik keluarga tidak berlaku. Batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan perlulah dijelaskan kepada mereka. Maka itu, Rasulullah (s.a.w.) telah memerintahkan agar anak-anak itu diasingkan tempat tidur mereka antara lelaki dengan perempuan dan dari para ibubapa mereka sendiri sebagaimana menurut hadis di atas kerana ini mempunyai implikasi moral yang amat besar sekali dalam kehidupan mereka.

Dalam mengasuh dan mendidik anak lelaki perlu menggunakan pendekatan yang berbeza daripada pendekatan yang digunakan apabila mendidik anak perempuan, sementara amalan pilih kasih dan melebihkan seorang anak dari seorang anak yang lain pula perlu dihindarkan. Oleh itu, perkara utama yang perlu diingat apabila hendak mewujudkan kemesraan dan komunikasi yang amat baik sesama ahli keluarga ialah bahawa para ibubapa hendaklah menunjukkan rasa kasih sayang, belas dan mesra kepada anak-anak dan berlaku adil kepada mereka. Islam sendiri telah memberikan panduan dan tunjuk ajar yang serba lengkap dalam pendidikan anak-anak. Islam menganggap bahawa anak-anak adalah satu anugerah Allah yang paling berharga dan perlu dipelihara sebaiknya. Islam sendiri telah menganjurkan supaya setiap anak yang lahir itu diberi kasih sayang dan pendidikan Islam yang secukupnya.

Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab para ibubapa untuk mendidik dan mencorak anak-anak mereka supaya menjadi seorang insan yang benar-benar bertakwa kepada Allah. Ini bertepatan sekali dengan sabda Rasulullah (s.a.w.) yang bermaksud

`setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci lagi bersih), maka para ibubapalah yang mencorakkan mereka sama ada menjadi seorang Majusi atau Nasrani'.

Rasulullah (s.a.w.) merupakan contoh yang terbaik dan paling hampir dengan umat Islam untuk diteladani cara gaya Baginda ketika berinteraksi dengan anak-anak kecil. Baginda sentiasa menunjukkan rasa belas dan kasih sayang terhadap anak- anak. Pernah pada suatu masa, ketika Baginda sedang sujud dalam solat, dua orang cucunya, Hasan dan Husin naik dan bermain-main di atas belakang Baginda. Menyedari perkara ini, Baginda telah memanjangkan tempoh sujud sehingga kedua-dua anak itu selesai bermain. Baginda juga pernah bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim bermaksud

`...barangsiapa yang tidak mengasihi, nescaya tidak akan dikasihi oleh orang lain...'

Ada keluarga-keluarga pada hari ini sedang menghadapi suatu dilema di mana hubungan kekeluargaan, tahap kasih sayang dan kemesraan kian merosot sehingga mengakibatkan terlerainya kemesraan antara ibubapa dan anak-anak. Gejala kurangnya kemesraan antara ibubapa dan anak-anak boleh menjejaskan keadaan masyarakat.

3 comments:

zaida said...

siapakah yg harus dipersalahkan dalam soal keruntuhan rmhtgga ini...
adakah ibp,msyarakt..dan sbgainya..

tpi,mmg btl...sdkt sbnyk adalah dsbbkan ibubp sndri yg gagal mndidik anak mrk dgn acuan yg dredhoi Allah..

yer...kuarga sakinah adalah impian setiap insan...
tp bkn shj bhgia d dnia..malah d akhirat jua insyaAllah

nurkasih said...

Siapakah yg harus dipersalahkan?

Bg pandangan ana, ibubapa seharusnya mewujudkan suasana keimanan dan ketaqwaan di dlm rumah mereka.

Tidak cukup dgn memberi pendidikan agama kpd anak2, akan tetapi diri sendiri tidak menunjukkan contoh yg terbaik buat anak2 mereka.

Sbg contoh; terdapat ramai ibu bapa yg menghantar anak2 mereka utk sekolah agama, akan tetapi ibu dan bapa mereka selalu pulang lewat ke rumah, serta jarang utk solat bersama dan tanye ttg masalah anak2 mereka.

Mereka ini seolah2 ingin melepaskan segala tanggungjawab mereka hanya kpd ustaz2 atau guru2 di sekolah utk menjaga anak2 mereka.

Ini semua kerana mereka terlalu mengejar harta benda dunia, terlalu fokus pd kerja, ingin mengumpul wang sehingga lupe kpd tanggungjawab utk mendidik anak2.

Tidak mustahil jika, pergolakan di dlm rumahtangga pd zmn kini akan membuatkan fikiran serta emosi anak2 sering terganggu, kerana anak2 ini kurangnya kasih sayang drpd ibu bapa mereka sendiri.

Justeru itu, bg mengatasi masalah ini, marilah kita mewujudkan suasana keimanan serta ketaqwaan di dlm rumahtangga, dengan menghidupkan suasana solat berjemaah, bg memupuk kasih dan sayang di dlm rumah, insyaAllah.

nurkasih said...

Kenangi Ibu Bapa
Doakanlah Sejahtera
Kita Anak Harus Membela
Apabila Sudah Dewasa

Jangan Biarkan Mereka
Sia-Sia Di Hari Tua
Kecewa Hidup Dan Merana
Kerna Perbuatan Anak Derhaka

Bahgiakan Mereka
Hingga Ke Hujung Usia
Bila Sampai Waktu Ajalnya
Anak Soleh Sebagai Harta

Hai... Ibu Bapa
Kami Permata Anda
Tidak Jemu Berdoa
Agar Sejahtera Terpelihara

Di Dunia Bahagia
Akhirat Pun Begitu Jua
Inilah Harapan Kami Semua
Moga Allah Kabulkan Doa