Monday, August 3, 2009

AdDiN seBaGai NaSiHaT

Nasihat merupakan suatu perkara wajib bagi tiap-tiap individu. Nasihat bermakna memelihara hati orang yang diberi nasihat dan suci daripada tipu daya serta khianat. Nasihat juga merangkumi perkara-perkara berkaitan Islam, Iman dan Ihsan. Nabi menyarankan sasaran nasihat iaitu nasihat kepada Allah dengan cara menunaikan segala perintah Allah dan menjauhi laranganNya. Nasihat kepada kitab Allah (Al-Qur'an) dengan cara mempelajari, memahami dan mengamalkan apa sahaja hukum yang terdapat di dalamnya. Seterusnya mengajar dan menyampaikan kepada orang lain. Nasihat kepada Rasulullah s.a.w dengan cara mentaati segala sunnah baginda yang ditinggalkan kepada kita dan menerima sunnah baginda yang ditinggalkan kepada kita dan menerima sunnah seiring dengan Al-Qur'an. Kita bukan sahaja diwajibkan mentaati Baginda sewaktu hidup bahkan setelah baginda wafat pun ketaatan wajib dilakukan. Nasihat kepada imam-imam orang Islam (pemimpin atau pemerintah) dengan cara menasihati mereka agar barlaku baik dalam pemerintahan. Jujur dan ikhlas dalam menerajui masyarakat. Menegakkan makruf dan menjauhi mengkar, ketaatan untuk mereka hanya berlaku apabila pemerintah mengamalkan apa yang dituntut oleh Allah s.w.t. Kita wajib mentaati mereka selagi mana pemerintahan mereka tidak keluar dari syariat Islam.

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud : "Sesiapa yang tidak mementingkan urusan orang Islam, maka ia bukan dari kalangan mereka, sesiapa yang diwaktu-waktu pagi dan petang tidak menasihati tentang Islam, Rasul dan Kitabnya kepada imam (pemimpinnya) dan orang-orang awam, maka ia bukan dari kalangan mereka."

Dewasa ini amalan nasihat menasihati di kalangan kita telah mula pudar. Sikap ego dan sombong menyebabkan hati tertutup daripada menerima nasihat, kita ingat kitalah manusia yang sempurna serta tidak perlu ditegur. Apabila di nasihat atau ditegur kita akan mudah melenting. Bukankah itu satu perkara yang merugikan kita. Sebenarnya tiap-tiap manusia memerlukan nasihat, kita tidak dapat menilai diri kita kerana kita bukannya manusia yang sempurna dalam setiap aspek. Hanya orang lain yang memandang kita sahaja yang dapat menilai serta membantu kita dalam proses untuk menjadi manusia yang hampir kepada kesempurnaan. Menerima nasihat bukan bermakna kita akan dipandang hina tetapi menerimanya merupakan amanah serta kepercayaan orang ramai terhadap kita.

Justeru itu, marilah kita sama-sama kita membuka serta melapangkan hati seluas-luasnya bagi menerima apa sahaja nasihat dan kritikan daripada saudara kita. Sesungguhnya nasihat itu bertujuan untuk membina peribadi muslim serta mengingatkan kita kepada kekuasaan Allah Ta'ala.

1 comment:

nurkasih said...

"kasihanilah serta sayangilah org2 yg menasihati diri kita, kerana mereka telah membetulkan kesilapan kita dan menunjukkan kpd kita jalan yg lurus."

"endahkanlah dan biarkanlah org2 yg memuji2 diri kita, kerana mereka hanya akan bersama2 dgn kita semasa kita dlm keadaan baik, tp bila kita ditimpa kesusahan mereka akan lari dan membiarkan kita terkapai2."

"maka, berikanlah peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu amatlah bermanfaat." - Surah Al-A'laa: 9