Showing posts with label Laman Keluarga Sakinah. Show all posts
Showing posts with label Laman Keluarga Sakinah. Show all posts

Friday, February 3, 2012

**Mendidik Isteri Cara Rasulullah S.A.W**

Suami sebagai pemimpin rumahtangga semestinya sentiasa kreatif dalam mendidik isteri. Allah SWT bekalkan kepada kaum lelaki kekuatan akal yang rasional, tidak terlalu emosional atau mudah didorong oleh perasaan. Lelaki tidak mudah tersinggung berbanding dengan wanita. Jika kekuatan akal ini dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya, ditambah pula dengan kesabaran serta kekuatan jasmani untuk mencari nafkah keluarga, seorang suami akan menjadi pelindung dan pendidik yang berwibawa.

Firman Allah SWT:

“Lelaki adalah pemimpin (pembela dan pelindung) bagi wanita, kerana Tuhan telah melebihkan yang satu dari yang lainnya, dan kerana suami telah menafkahkan sebahagian daripada hartanya.”

Kebahagiaan rumahtangga dapai diraih apabila suami dapat menggunakan kekuatan akalnya serta kesabaran dalam menghadapi kerenah dan ragam isteri. Secara mudah, bolehlah dikatakan lelaki adalah makhluk akal manakala wanita adalah makhluk rasa. Perasaan wanita terlalu mudah terusik dengan suasana dan keadaan sekeliling. Oleh itu dalam menghadapi wanita, lelaki hendaklah banyak menggunakan daya fikir. Kalau umpamanya isteri sedang berduka, suami perlu merancang untuk mewujudkan perasaan gembira di dada isteri. Di sinilah perlunya strategi dalam mendidik isteri.

Kaum wanita memang dibekalkan dengan sembilan nafsu dan akal berbanding dengan lelaki hanya satu nafsu dan sembilan akal. Nafsu yang dimaksudkan bukanlah nafsu seks semata-mata tetapi nafsu yang menyebabkan seseorang itu mudah hilang sabar, mudah berprasangka, pemarah, pemboros dalam berbelanja, cepat tersinggung dan sebagainya. Pendek kata, hasil dorongan nafsu itulah lahirnya pelbagai perasaan di dada wanita. Sebab itu dikatakan juga bahawa sembilan persepuluh daripada diri wanita itu ialah perasaan dan satu persepuluh saja pertimbangan akal. Atas dasar inilah isteri mesti dipandu atau dibimbing oleh suami agar segala tindak tanduknya tidak melulu ikut perasaan semata-mata.

Sembilan nafsu pada diri wanita boleh menyebabkan kerosakan pada masyarakat dan keruntuhan rumahtangga jika tidak dipagari dengan ilmu syariat. Mahu tidak mahu suami terpaksa mempelajari sedikit sebanyak ilmu untuk menundukkan wanita atau psikologi wanita serta memenuhkan dada dengan ilmu syariat. Barulah nanti dapat menggunakan kebijaksanaan dalam mendidik isteri sekalipun adakalanya menghadapi ragam isteri yang mencabar kesabaran suami.

Kebijaksanaan mesti disertai pula dengan kesabaran. Kedua-duanya mesti ada pada seorang suami. Kesabaran tanpa kebijaksanaan menyebabkan suami menurut saja kemahuan isteri sehingga isteri lupa daratan. Manakala kebijaksanaan tanpa kesabaran akan menyebabkan suami tewas dengan nafsunya sendiri sehingga bertindak ganas dan boleh mencederakan isteri.
Maknanya, tanpa kesabaran seseorang itu hilang pertimbangan akal dan tidak dapat lagi melihat sesuatu persoalan dengan tenang. Jika kesabaran tidak ada pada diri, ia perlu diusahakan melalui latihan berpandukan ilmu tasauf. Contoh bagaimana kesabaran boleh menundukkan nafsu wanita dapat dilihat pada satu kisah seorang perempuan tua yang suka mengganggu Rasulullah SAW.

Tatkala Rasulullah SAW lalu di sebelah rumahnya, perempuan tua itu akan membaling sampah kepada Rasulullah SAW. Adakalanya dia menaburkan sampah dan serpihan kaca di sepanjang jalan yang akan dilalui oleh Rasulullah SAW. Bahkan pernah juga dia membaling najis semasa Baginda lalu di sebelah rumahnya. Namun sedikit pun tidak dipedulikan oleh baginda. Suatu hari Rasulullah SAW rasa pelik kerana perempuan tua itu tidak menghalangi lagi perjalanannya baik dengan serpihan kaca mahupun dengan sampah yang dibalingkan. Apabila pulang dari masjid, baginda bertanya kepada jiran perempuan tersebut. Rupa-rupanya perempuan itu sakit. Lalu Baginda naik ke rumahnya dengan tujuan untuk berziarah. Rasulullah SAW bertanyakan khabar dan tolong memasakkan air untuk perempuan tua itu. Alangkah terkejutnya perempuan tersebut melihat akhlak Baginda yang sanggup menziarahi dan membantunya tatkala dia sedang sakit. Akhirnya dengan sifat sabar, Rasulullah menghadapi kerenah perempuan tua itu, menyebabkan terbuka hatinya untuk mengucap dua kalimah syahadah.

Dalam peristiwa yang lain, pernah Rasulullah SAW melintasi sekumpulan kaum perempuan, lalu Baginda memberi salam. Namun tiada seorang pun yang menjawab salam baginda. Rasulullah SAW memberi salam sekali lagi. Mereka masih diam juga. Akhirnya setelah tiga kali Rasulullah beri salam, barulah mereka menjawab salam baginda. Apabila ditanya mengapa mereka tidak menyahut salam yang pertama dan kedua, mereka menjawab: “Kami sengaja mahu Rasulullah SAW mendoakan untuk kami.”

Begitu Rasulullah SAW mendidik kaum wanita. Walaupun sesekali kesabaran baginda rasanya tercabar, tetapi Baginda masih dapat menunjukkan akhlak yang paling baik. Kadangkala apabila berhadapan dengan kaum perempuan yang pendek akalnya, kaum lelaki mudah naik angin. Memang tidak dinafikan ada masanya perempuan mengambil masa untuk memahami sesuatu perkara. Tetapi kaum lelaki mestilah menyedari hakikat bahawa kaum perempuan memang sediakala lemah pemikirannya. Oleh itu, suami mestilah bersedia untuk mendidik isteri dengan penuh kasih sayang tanpa rasa jemu walaupun mengambil masa yang panjang.

Suatu ketika datang seorang perempuan berjumpa Rasulullah SAW dan bertanya tentang mandi hadas. Rasulullah SAW menjawab:

“Ambillah sepotong kain perca yang sudah dikasturikan lalu berwuduk dengannya.” Perempuan itu terpinga-pinga kerana tidak memahami keterangan Rasulullah. Lantas dia mengulangi lagi pertanyaannya: “Bagaimana saya hendak berwuduk dengan itu?” Sekali lagi Rasulullah mengulangi jawapan baginda. Tetapi perempuan yang bertanya masih belum memahaminya. Lalu Rasulullah SAW meminta kepada Siti Aishah r.a. supaya menerangkan kepada perempuan itu. Maka Siti Aishah pun berkata: “Ambil sepotong kapas yang bersih, lalu letakkan di tempat darah. Jika kapas itu tetap putih tanda haid sudah berhenti.”

Yang dimaksudkan dengan unsur kasih sayang dalam mendidik isteri bukanlah sekadar kata-kata asmara dana atau pujuk rayu. Tetapi ia lebih daripada itu. Sifat dan perwatakan suami itu sendiri hendaklah mempunyai ciri pengasih, sekalipun jika dia seorang pemimpin. Ada waktu-waktu yang tertentu apabila suami bersama isteri, suami hendaklah merendahkan sifat egonya, seperti mana yang dibuat oleh Rasulullah SAW tatkala bersama Siti Aishah.

Sewaktu Rasulullah SAW dinikahkan dengan Siti Aishah, umur baginda 55 tahun manakala Siti Aishah baru enam tahun dan mereka bersama tatkala Siti Aishah berusia sembilan tahun. Semasa melayan Siti Aishah, ada masanya Rasulullah berlagak seperti kawan sepermainan. Siti Aishah diajak berlumba lari. Kadang-kadang Siti Aishah menang dan adakalanya Rasulullah menang. Bermakna sewaktu bersama isteri, adakalanya Rasulullah melayan kehendak isterinya tanpa menjatuhkan martabatnya sebagai seorang suami yang wajib dihormati oleh isteri. Ini menunjukkan bahawa pada masa-masa tertentu suami mesti pandai memikat hati isteri asalkan tidak sampai terlalai hingga menurut saja segala kemahuan isteri.

Di sinilah perlunya ketegasan seorang suami. Tegas dalam syariat dan tegas dalam perjuangan. Tegas tidak pula bermakna kasar atau garang cuma jangan sampai kerana hendak melayan kehendak isteri, syariat dan perjuangan terpaksa diketepikan. Sebagai pemimpin dalam sesebuah rumahtangga, suami berhak untuk mendidik dan menyelesaikan segala kekusutan fikiran isterinya. Oleh kerana wanita seringkali bertindak mengikut perasaannya, maka adakalanya apabila fikiran terganggu, emosinya juga terikut sama. Tatkala itu kalau ada kesalahan suami walaupun kecil akan diungkit-ungkit lebih-lebih lagilah jika kesalahan itu dianggap besar, mulalah meluap-luap perasaan marahnya pada suami.

Memang satu sifat yang agar sukar untuk dikawal ialah tatkala isteri sedang marah. Kadang-kadang dia mengamuk macam ribut taufan lakunya (sebab itu kebanyakan nama ribut diambil dari nama perempuan umpamanya Taufan Lydia, Ariel, Angela dan lain-lain). Bagaimana sepatutnya tindakan suami untuk mententeramkan isteri yang sedang dilanda ribut taufan ini? Seeloknya didiamkan saja dahulu sampai kemarahannya reda kemudian baru diterangkan dengan sejelas-jelasnya setiap perkara yang perlu diterangkan terutama yang menimbulkan prasangka isteri. Mengapa perlu diamkan saja orang yang sedang mengamuk? Kerana tatkala sedang marah syaitan sengaja meluap-luapkan perasaan marahnya. Kalau dijawab, bererti kita sengaja mencari pasal kerana berlawan dengan syaitan. Maka lebih baik didiamkan sahaja sehingga perasaan marahnya kendur.

Ada kalanya demi keharmonian rumahtangga, ada perkara-perkara tertentu yang tidak sepatutnya diketahui oleh isteri. Kalau perlu disembunyikan dari pengetahuan isteri, sembunyikan sungguh-sungguh. Bukanlah untuk menggalakkan suami mengambil kesempatan melakukan perkara yang sumbang dan berbuat dosa di belakang isteri. Tetapi jika perkara yang disembunyikan itu tidak bertentangan dengan syariat, memang ada baiknya disembunyikan. Mungkin ia berhubung dengan suatu perkara yang isteri masih sukar untuk menerimanya. Hal ini pernah berlaku dalam rumahtangga Rasulullah SAW.

Suatu hari isteri-isteri datang menemui Baginda, dan Siti Aishah, yang mewakili mereka semua, bertanya: “Wahai Rasulullah, di antara isteri-isteri Rasulullah,yang manakah yang paling Rasulullah sayangi?” Rasulullah SAW tersenyum mendengar pertanyaan itu. Rasulullah tidak terus menjawabnya. Bahkan Baginda menyuruh kesemua isterinya pulang dahulu dan berjanji akan memberikan jawapannya kemudian. Bagaimana harus dijawab kalau anda ditanya begitu oleh isteri-isteri anda? Memang tidak dinafikan perasaan kasih sayang itu tidak boleh diberi sama adil. Ini diakui oleh Allah SWT. Tetapi suami mestilah pandai memainkan peranannya supaya jangan ada di kalangan isteri-isteri yang tersinggung perasaanya kerana mengetahui suami lebih sayang kepada isteri yang tertentu. Berbalik kepada kisah tadi, maka seperti biasa Rasulullah SAW mendatangi isteri-isterinya mengikut giliran masing-masing. Rasulullah sedikit pun tidak menyebut mengenai persoalan yang dikemukakan itu. Sebaliknya sebelum baginda meninggalkan isterinya, setiap seorang baginda hadiahkan sebentuk cincin dan baginda berpesan agar mereka tidak memberitahu pada isteri-isteri yang lain.

Pada hari yang telah ditetapkan Rasulullah SAW menyuruh isteri-isterinya berkumpul kerana baginda hendak memberi jawapan kepada persoalan yang dikemukakan. Maka berdebar-debarlah hati masing-masing untuk mengetahui siapakah di antara mereka yang paling disayangi oleh Rasulullah. Ada yang terasa pasti jawapannya Siti Aishah kerana beliaulah yang termuda di antara mereka. Tetapi dengan kebijaksanaan Rasulullah SAW, Baginda pun berkata, “Isteri yang paling disayangi ialah mereka yang diberi cincin kepadanya.” Maka tersenyumlah isteri-isteri Rasulullah kerana setiap seorang menyangka dia sahaja yang menerima cincin tersebut. Begitulah sepatutnya tindakan suami, pandai menyelesaikan kekusutan fikiran isteri.

Satu perkara lagi biasanya kaum perempuan suka berleter atau setengah orang kata macam mulut murai. Suami yang bijak akan berdiam dan tidak menjawab leteran isteri. Ini bukan bermakna suami mengalah, tetapi sebagai satu strategi. Ibarat orang sedang sakit gigi. Gigi yang sakit jangan terus dicabut kerana akan bertambah sakitnya. Hendaklah tunggu sehingga sakitnya berkurangan barulah dicabut. Maknanya isteri yang sedang berleter, jangan dinasihati. Hendaklah tunggu keadaannya menjadi kendur, barulah boleh dinasihati. Dan nasihat itu mestilah kena pada tempatnya. Maka barulah diterima dan dirasakan seperti kepala yang disirami embun pagi pada kala panas terik. Rasulullah SAW juga pernah berhadapan dengan kerenah perempuan yang suka berleter. Rasulullah tidak menjawab sepatah pun. Baginda memberi peluang kepada perempuan tersebut meluahkan ketidakpuasan hatinya. Apabila kesemuanya telah diluahkan, barulah baginda memberi penjelasan atau pun memaafkan saja dan melupakan perkara tersebut.

Tidak semua suami memiliki isteri yang banyak kerenah. Beruntunglah suami yang memiliki isteri yang sikapnya terlalu pengasih terhadap suami dan anak-anak. Perempuan begini rela mengorbankan seluruh jiwa dan raganya untuk kebahagiaan suami dan anak-anak. Dia akan bersikap sebagai penghibur, penyayang, pendorong dan pembantu kepada perjuangan suami sekiranya suaminya seorang pejuang atau pendakwah. Isteri begini bukan sahaja tidak membebankan suami dengan masalah-masalahnya, bahkan dia akan berusaha untuk menyelesaikan masalah suaminya. Sabda Rasulullah SAW:

“Barangsiapa memiliki isteri yang solehah, maka sesungguhnya ia telah memiliki separuh dari agamanya.”

Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud:

“Dunia adalah hiasan dan hiasan yang terbaik ialah memiliki isteri yang solehah.”

Apabila wanita dapat dididik dengan betul, maka ia dapat memberi kebaikan yang besar kerana di tangan wanitalah penentu corak generasi akan datang. Kelembutan dan kehalusan belaian tangan wanita yang solehah boleh membahagiakan seisi alam.

Sumber: http://www.one-ummah.net/

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, October 17, 2009

**SaMPai sYuRGa..**

Pasangan yang bercinta, mereka mencari syurga. Mencari bahagia dan kepuasan santapan jiwa. Biar runtuh awan di langit, biar gegar di lantai bumi, lautan api sanggup direnangi. Itulah kuasa cinta. Pengorbanan yang ditawarkan demi sebuah cinta, yang menjanjikan bahagia.

Tiada insan yang sengaja mencari derita. Seperti ikan mencari air, si dahaga mendamba seteguk minum, mata mengantuk mencari bantal, demikianlah setiap insan mengerumuni cinta. Demi sesuatu yang menjanjikan bahagia.

Namun dalam asyiknya manusia bercinta, di kala itu jualah manusia semakin derita. Rumahtangga musnah, hidup berantakan. Tatkala inai masih di jari, anak belum pun sempat berdiri, tiang rumah dan tangga cinta roboh dirempuh badai.

Luar biasa…
Mereka bukan dipaksa menerima. Kahwin itu bukan kahwin dera atau kahwin paksa. Ia adalah cinta sama cinta, suka sama suka. Jika kedua belah pihak sudah saling menerima dan kenal isi kulit pasangan sehati sejiwa, di manakah cacat di manakah celanya hingga hujan tidak sempat menunggu petang?
Bukankah syurga dunia yang dibina itu mahu dilangsungkan hingga ke Syurga Sana?
Pada hari itu teman-teman akrab setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang perhubungannya berdasarkan Taqwa [al-Dzukhruf 43: 67]
Itulah realitinya.
Bahawa biar sehangat mana pun cinta yang membakar perhubungan dua insan yang berkasih sayang, mereka akan menjadi musuh di antara satu sama lain di padang Mahsyar. Jika dahulunya mereka menolak pertolongan yang ditawarkan demi kebahagiaan sebenar, hari itu mereka pula saling bermusuh dengan permusuhan yang tidak lagi mampu ditolong.
Mengapa cinta menjadi permusuhan?
Apakah yang menguji manusia di Mahsyar hingga pasangan yang akrab menjadi musuh yang saling mementingkan diri?
Sesungguhnya Mahsyar itu mengheret manusia kepada sebuah TEKANAN. Itulah ujian terbesarnya. Segala yang didustakan selama ini terbentang di depan mata. Barulah kelihatan kesan segala perbuatan. Bahawa dunia memang sementara, namun kesan amal berkekalan selamanya. Dan hari Mahsyar itu setiap insan berada di bawah TEKANAN yang maha dahsyat.
Ibu sanggup menggadaikan anak demi untuk menyelamatkan diri.
Dua kekasih sanggup mengorbankan pasangannya demi terbebas dari seksaan yang sedang menanti.
Dalam keadaan yang begitu terdesak dan penuh tekanan, cinta berubah menjadi permusuhan.

Dua kekasih saling menyerang pasangan masing-masing, mementingkan diri, demi sebuah keselamatan.

Kecuali manusia bertaqwa.

Wahai pasangan yang bermadu kasih, ingatkah kalian pada khutbah yang mengiringi lafaz AKU TERIMA NIKAHNYA suatu hari dahulu? Tiga ayat yang dibacakan kepadamu, segalanya berbicara tentang TAQWA.

Pesan itu adalah pesan Tuhanmu. Pesan yang disampaikan di lisan Nabimu. Pesan yang diperpanjangkan kepada khutbah nikahmu. Bahawa tiada bahagia tanpa taqwa. Hanya derita pemusnah cinta, manusia tersungkur di pantai derita, meneguk neraka dunia sebelum Neraka di Sana.
Neraka dunia yang menghancurkan bahagia datang bersama tekanan. Ujian yang amat menghimpit beban. Soal anak, soal pekerjaan, soal keinginan, soal ketidakpuasan, soal kemahuan, soal kesangsian. Rumahtangga yang belayar di tasik madu, menjelang senja dihiris sembilu.
“Lepaskan saya. Saya sudah tidak sanggup lagi,” bentak isteri yang terbeban oleh tekanan perasaan.
“Sabarlah isteriku. Mari duduk mencari petunjuk,” pujuk suami dengan linangan air mata.
Anak-anak menggeletar terperosok di sudut gementar. Melihat ayah dan ibu bergaduh cakar mencakar.
“Bukankah kami hadir kerana cintamu?” bisik si anak kepada hatinya, merayu kepada Tuhan agar mendamaikan sepasang insan tempat dirinya berpaut hidup.
“Sudah-sudah. Tidak perlu dibincang-bincangkan lagi. Lepaskan saya. Hantarkan saya balik ke rumah emak di kampung!” si isteri terus mengamuk.
“Bagaimana dengan anak-anak kita?” suami merenung wajah anak-anak yang kebingungan. Terasa hangat pipi dihujani hiba.
“Semuanya salah abang. Sudah berapa kali saya beri peluang. Abang masih tidak berubah. Abang bekerja untuk keluarga, hingga hancur keluarga. Kalau selama ini kami bahagia tanpa abang, kenapa perlu lagi saya menderita menanti abang. Saya ada cita-cita sendiri!” si isteri mengesat wajahnya dengan lengan. Kata-katanya penuh simpang siur perasaan. Tidak pasti apa yang dimahukan. Kecuali sebuah penceraian…

Tekanan bukan sahaja menjadikan seorang kekasih memusuhi kekasihnya di Akhirat, bahkan tekanan itu juga menghilangkan cinta tatkala menempuh kehidupan dunia. Hingga tidak sempat-sempat menuju penceraian, semata-mata ingin lari daripada sebuah tekanan.
Itulah yang banyak berlaku hari ini.
Pelik sekali, setelah ghairah bercinta kita melangkah ke alam rumahtangga. Belum sempat anak membesar bergegas pula menuju penceraian. Dan janggal sekali, selepas bercerai barulah timbulnya damai. Boleh keluar makan bersama, boleh bergilir melayan anak-anak. Suami isteri payah serasi, biar sekadar teman yang mesra. Semuanya kerana gagalnya manusia, menguruskan tekanan, realiti kehidupan.
Justeru wahai insan yang mabuk cinta, siasatlah benang yang menyulam kasihmu. Apakah ia sebuah taqwa, atau cinta buta yang tidak berpijak di bumi nyata? Sesungguhnya cinta yang tidak bersendikan taqwa adalah cinta yang berakhir dengan permusuhan. Jika tidak di neraka dunia, pastinya Neraka abadi di alam Sana.

Tidak mungkin Syurga di Akhirat menjadi habuan kita, andai dunia bersalut neraka. Dunia ladang Akhirat, apa yang disemai pada hidup yang sementara ini, itulah tuaian di Akhirat yang kekal abadi.
Berjuanglah berbekalkan taqwa untuk mengharungi epilog sebuah cinta, hingga terkecap syurga dunia.
Berjuanglah sampai mengecap bahagia perjuangan, rumahku syurgaku, baiti jannati…
Kejayaan bukan sebuah destinasi, ia adalah sebuah perjalanan.Bercintalah sampai ke Syurga, wahai dua insan bercinta.

Thursday, October 8, 2009

**IsU PeNDiDiKaN AnAK-AnAk**


Menurut ajaran Islam anak adalah amanah Allah yang dikurniakan kepada ibubapa. Ia juga merupakan cahayamata yang sangat diingini dan dikehendaki oleh sesebuah keluarga terutama dalam meneruskan bakti terhadap agama, bangsa dan negara, dan juga untuk memikul tanggungjawab menjaga dan memimpin keluarga terutama apabila ibubapa sudah berada di peringkat umur yang tua.

Islam meletakkan tanggungjawab ke atas ibubapa untuk memelihara anak-anak dengan sempurna termasuklah makan minum, pakaian, tempat tinggal; malah memberi pendidikan dan memperkuatkan iman serta akhlak yang mulia. Dalam sebuah Hadith, Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud:

"Ajarlah anak kamu tiga perkara: Mencintai Nabi kamu, mencintai kaum keluarganya dan membaca Al-Quran".

Islam menjelaskan tanggungjawab ibubapa kepada anak-anak dan juga memberi penghargaan yang tinggi dan meletakkan kedudukan ibubapa begitu mulia. Firman Allah S.W.T. dalam Surah Al-Isra' ayat 23 & 24 yang bermaksud:

"Dan Tuhan telah memerintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibubapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun berkata "Ha" dan janganlah engkau menengking, menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil".

Oleh itu penggunaan teknik komunikasi yang berkesan adalah penting untuk membina keluarga bahagia. Setelah anak-anak kita diberi pendidikan Islam dan mengenal Allah secukupnya, mereka hendaklah diajar tentang tatasusila pergaulan dan berkomunikasi dengan orang lain.

Sebenarnya, pergaulan atau cara berkomunikasi itu bermula dari rumah dan buruk atau baik pergaulan itu adalah bergantung kepada pergaulan dan cara berkomunikasi yang ditunjukkan oleh para ibubapa ketika di rumah. Ini kerana anak-anak akan mencontohi pola-pola pergaulan dari ibubapa ketika mereka berinteraksi sesama mereka. Dalam Islam, pergaulan anak-anak dengan Allah mestilah diajar lebih awal. Maka itu, Rasulullah (s.a.w) telah menceritakan kepada ibubapa supaya menyuruh anak-anak mereka mendirikan solat ketika berusia seawal tujuh tahun dan sekiranya mereka ingkar hendaklah dipukul secara wajar sebagaimana menurut sebuah hadis baginda, riwayat oleh al Hakim dan Abu Daud bermaksud:

`...suruhlah anak-anakmu mengerjakan solat pada usia tujuh tahun. Pukullah mereka jika mereka masih engkar setelah berusia 10 tahun dan pisahkanlah tempat tidur mereka....'

Selain dari itu, pergaulan sesama adik-beradik juga hendaklah sentiasa diawasi supaya perilaku yang mencemar nama baik keluarga tidak berlaku. Batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan perlulah dijelaskan kepada mereka. Maka itu, Rasulullah (s.a.w.) telah memerintahkan agar anak-anak itu diasingkan tempat tidur mereka antara lelaki dengan perempuan dan dari para ibubapa mereka sendiri sebagaimana menurut hadis di atas kerana ini mempunyai implikasi moral yang amat besar sekali dalam kehidupan mereka.

Dalam mengasuh dan mendidik anak lelaki perlu menggunakan pendekatan yang berbeza daripada pendekatan yang digunakan apabila mendidik anak perempuan, sementara amalan pilih kasih dan melebihkan seorang anak dari seorang anak yang lain pula perlu dihindarkan. Oleh itu, perkara utama yang perlu diingat apabila hendak mewujudkan kemesraan dan komunikasi yang amat baik sesama ahli keluarga ialah bahawa para ibubapa hendaklah menunjukkan rasa kasih sayang, belas dan mesra kepada anak-anak dan berlaku adil kepada mereka. Islam sendiri telah memberikan panduan dan tunjuk ajar yang serba lengkap dalam pendidikan anak-anak. Islam menganggap bahawa anak-anak adalah satu anugerah Allah yang paling berharga dan perlu dipelihara sebaiknya. Islam sendiri telah menganjurkan supaya setiap anak yang lahir itu diberi kasih sayang dan pendidikan Islam yang secukupnya.

Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab para ibubapa untuk mendidik dan mencorak anak-anak mereka supaya menjadi seorang insan yang benar-benar bertakwa kepada Allah. Ini bertepatan sekali dengan sabda Rasulullah (s.a.w.) yang bermaksud

`setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci lagi bersih), maka para ibubapalah yang mencorakkan mereka sama ada menjadi seorang Majusi atau Nasrani'.

Rasulullah (s.a.w.) merupakan contoh yang terbaik dan paling hampir dengan umat Islam untuk diteladani cara gaya Baginda ketika berinteraksi dengan anak-anak kecil. Baginda sentiasa menunjukkan rasa belas dan kasih sayang terhadap anak- anak. Pernah pada suatu masa, ketika Baginda sedang sujud dalam solat, dua orang cucunya, Hasan dan Husin naik dan bermain-main di atas belakang Baginda. Menyedari perkara ini, Baginda telah memanjangkan tempoh sujud sehingga kedua-dua anak itu selesai bermain. Baginda juga pernah bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim bermaksud

`...barangsiapa yang tidak mengasihi, nescaya tidak akan dikasihi oleh orang lain...'

Ada keluarga-keluarga pada hari ini sedang menghadapi suatu dilema di mana hubungan kekeluargaan, tahap kasih sayang dan kemesraan kian merosot sehingga mengakibatkan terlerainya kemesraan antara ibubapa dan anak-anak. Gejala kurangnya kemesraan antara ibubapa dan anak-anak boleh menjejaskan keadaan masyarakat.

Saturday, September 12, 2009

**LeLaKi iDaMaN..??**

Seorang lelaki yang ku idamkan ialah seorang buta, bisu, bakhil dan papa…
Biarlah dia seorang yang buta

Buta, kerana matanya sunyi daripada melihat perkara-perkara maksiat dan lagha

Kerana matanya terpelihara daripada memandang aurat wanita ajnabi

Asalkan kedua matanya terang dalam memerhatikan keagungan ciptaan Allah

Asalkan dia celik dalam melihat kesengsaraan umat Islam di Palestin, Bosnia dan seumpamanya

Biarlah dia seorang bisu

Bisu daripada pujuk rayu yang bisa menggoncang keimanan

Bisu daripada mengungkapkan ucapan yang bisa meracun fikiran

Bisu daripada perkataan yang bisa mendatangkan kekufuran

Asalkan bibirnya sentiasa basah mengingat Tuhan

Asalkan lidahnya tidak pernah lekang dari membaca Al-Quran

Asalkan dia petah membangkang kemungkaran

Dan lantang menyuarakan kebenaran

Lelaki yang ku idamkan ialah seorang yg bakhil

Bakhil dalam memberi senyuman pada wanita yang bukan mahramnya

Bakhil dalam meluangkan masa bertemu janji dengan wanita ajnabi yang boleh dinikahinya

Bakhil untuk menghabiskan wang hanya kerana seorang wanita yang tidak sepatutnya

Tetapi dia begitu pemurah meluangkan masanya untuk beribadah kepada Khaliqnya

Dia begitu pemurah untuk mempertahankan aqidahnya

Pemurah dalam memberi nasihat dan teguran

Sehingga dia sanggup menggadaikan hartanya

Bahkan nyawanya sendiri untuk melihat kalimah LAILAHAILALLAH

Kembali megah di muka bumi..

Lelaki yang ku idamkan adalah seorang yang papa

Papa dalam melakukan perkara maksiat

Papa dalam ilmu-ilmu yang tidak berfaedah dan bermanfaat

Papa memiliki akhlak mazmumah

Tapi dia cukup kaya dalam pelbagai ilmu pengetahuan

Dia begitu kaya memiliki ketinggian akhlak dan budi pekerti yang mulia

Dia begitu kaya dengan sifat sabar dalam mengharungi tribulasi kehidupannya

Dan dia seorang yang kaya dalam membina jati diri

Dia mahu menjadi seorang syuhada yang syahid di jalan Maha Esa..
Berkata Imam Nawawi:
"Aku menyintaimu kerana agama yang ada padamu, jika kau hilangkan agama dalam dirimu, hilanglah cintaku padamu"

Thursday, September 10, 2009

**JoDoH PeRTeMuaN**

Oleh : Dr HM Tuah Iskandar Al-Haj - Melalui email, seorang wanita bertanya apakah keturunan menyumbang perihal jodoh. Kakaknya sudah berumur 35 tahun masih belum berkahwin. Usianya sendiri sudah 25 tahun dan masih belum punya teman.

Tidak, jodoh tiada kaitan dengan keturunan. Hanya belum sampai masanya. Ia bagai menanti jambatan untuk ke seberang. Kalau panjang jambatannya jauhlah perjalanan kita. Ada org jodohnya cepat sebab jambatannya singkat. Usia 25 tahun rasanya belumlah terlalu lewat. Dan usia 35 tahun belum apa2 kalau sepanjang usia itu telah digunakan untuk membina kecemerlangan. Nyatakanlah perasaan dan keinginan anda itu dalam doa2 lewat sembahyang. Sesungguhnya Allah mendengar rintihan dari hambanya.

Wanita baik untuk lelaki yang baik, sebaliknya wanita jahat untuk lelaki yang jahat. Biar lambat jodoh asalkan mendapat Mr Right dan biar seorang diri drp menjadi mangsa lelaki yang tidak beriman kemudian nanti.

Memang kita mudah tersilap mentafsir kehidupan ini. Kita selalu sangka, aku pasti bahagia kalau mendapat ini. Hakikatnya, apabila kita benar2 mendapat apa yang kita inginkan itu, ia juga dtg bersama masalah.

Kita selalu melihat org memandu kereta mewah dan terdetiklah di hati kita, bahagianya org itu. Hakikatnya apabila kita sendiri telah memiliki kereta mewah kita ditimpa pelbagai kerenah. Tidak mustahil pula org yang memandu kereta mewah(walaupun sebenarnya tak mewah) terpaksa membayar lebih tatkala berhenti untuk membeli durian di tepi jalan. Orang lain membeli dengan harga biasa, dia terpaksa membayar berlipat ganda.

Ketika anda terperangkap dalam kesesakan jalan raya, motosikal mencelah-celah hingga mampu berada jauh di hadapan. Anda pun mengeluh, alangkah baiknya kalau aku hanya menunggang sebuah motosikal seperti itu dan cepat sampai ke tmpt yang dituju. Padahal si penunggang motosikal mungkin sedang memikirkan bilakah dia akan memandu kereta di tgh2 bandar raya.

Bukan semua yang anda sangka membahagiakan itu benar2 membahagiakan. Bahagianya mungkin ada tapi deritanya juga datang sama. Semua benda, pasti ada baik buruknya.
Demikian juga perkahwinan. Ia baik sebab ia dibenarkan oleh agama, sunnah Nabi, sebagai saluran yang betul untuk melepaskan shahwat di samping membina sahsiah dan sebagainya, tapi ia juga buruk sebab ramai org yang berkahwin hidupnya semakin tidak terurus.

Ramai orang menempah neraka sebaik sahaja melangkahkan kaki ke alam berumahtangga. Bukankah dengan Ijab dan Kabul selain menghalalkan hubungan kelamin, tanggungjawab yang terpaksa dipikul juga turut banyak? Bukankah apabila anda gagal melaksanakannya, anda membina dosa seterusnya jambatan ke neraka?

Berapa ramaikah yang menyesali perkahwinan masing2 padahal dahulunya mereka bermati-matian membina janji, memupuk cinta kasih malah ada yang sanggup berkorban apa sahaja asalkan segala impian menjadi nyata?

Jika tidak sanggup untuk bergelar isteri tidak usah berkahwin dulu. Jika merasakan diri belum cukup ilmu untuk bergelar ibu ataupun ayah, belajarlah dulu. Jika rasa2 belum bersedia untuk bersabar dgn kerenah anak2, carilah dulu kesabaran itu. Jangan berkahwin dahulu sebab kenyataannya ramai yang tidak bersedia untuk melangkah tetapi telah melompat, akhirnya jatuh terjerumus dan tidak jumpa akar berpaut tatkala cuba mendaki naik.

Berkahwin itu indah dan nikmat bagi yang benar2 mengerti tuntutan2nya. Berkahwin itu menjanjikan pahala tidak putus2 bagi yang menjadikannya gelanggang untuk mengukuhkan iman, mencintai Tuhan dan menjadikan syurga sebagai matlamat. Berkahwin itu sempadan dari ketidaksempurnaan insan kepada kesempurnaan insan - bagi yang mengetahui rahsia2nya.

Berkahwinlah anda demi Tuhan dan Nabi-Nya, bukan berkahwin kerana perasaan dan mengikut kebiasaan. Jodoh usah terlalu dirisaukan, tiba masanya ia akan datang menjemput, namun perlu juga anda membuka lorong2nya agar jemputan itu mudah sampai dan tidak terhalang.
"Wahai manusia carilah cinta Allah dahulu, sebelum kamu mencari cinta manusia. Kenalilah cinta Allah dulu, sebelum kamu menagih cinta dari seorng insan. Rasailah cinta bersama dgn Allah dahulu, sebelum kamu merasai cinta bersama2 dgn pasanganmu. Ini kerana, jika kamu mencari, menagih dan merasai cinta manusia, sebelum Allah, pasti nafsu dan hasutan Syaitan yg akan menggodanya."

Tuesday, September 1, 2009

**BaGaiMaNa MeWuJuDkaN KeLuArGa SaKiNaH**


Kata Sakinah diambil dari kata yang tertera dalam surat Rum ayat 21, dapat disimpulkan bahwa keluaraga Sakinah adalah: "Sebuah keluarga yang dibangun dari hubungan suami isteri dari pernikahan yang Syar’i, untuk membina ketenangan, kebahagiaan serta saling memenuhi hak dan kewajipan dalam kehidupan rumah tangga yang lahir dari perasaan cinta dan kasih sayang".

Tujuan keluarga sakinah adalah mencapai Redha Allah yaitu memasuki surgaNya bukan nerakaNya. Oleh kerananya Allah selalu menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh untuk memasuki surgaNya dan tidak mendapat azabNya.

Tips mewujudkan Keluarga Idaman berdasarkan Al-Qur’an dan Hadits :

Pertama: Beriman Kepada Allah. Allah menjelaskan bahwa orang-orang yang dapat menjaga keluarganya dari ancaman neraka adalah mereka yang beriman kepada Allah swt.

Kedua: Memilih pasangan yang baik, Surat Annisa, ayat: 1-2 dan hadits Rasulullah saw: "Pilihlah wanita yang menjadi tempat lahirnya keturunanmu, karena ia mempengaruhi baik atau buruknya keturunan".


Ketiga: Hidup dengan cinta dan kasih sayang, Surat Ar-Rum, ayat; 21, dan definisi Keluarga sakinah di atas. Juga sabda Rasulullah saw: "Sesungguhnya aku adalah orang yang paling baik terhadap keluargaku, dan berbuat baiklah kalian kepada keluarga kalian".


Keempat: Menafkahi keluarga dengan nafkah yang halal dan baik, Firman Allah:
Dan makanlah makanan yang halal lagi baik dari apa yang Allah Telah rezekikan kepadamu, dan bertakwalah kepada Allah yang kamu beriman kepada-Nya.


Kelima: Memperhatikan pendidikan anak, Sabda Rasulullah saw: "Sesungguhnya Allah akan menanyakan kepada setiap orang tentang keturunannya yang dipeliharanya" .

Sunday, August 2, 2009

HaKiKaT PeRniKaHaN

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
Ada banyak alasan manusia yang membuat dasar dari hakikat pernikahan, hakikat yang seperti apakah yang paling membahagiakan? cuba kita lihat...dan manakah pilihan kita???

- Jika hakikat pernikahan adalah kerana HARTA, maka pasangan bakal bubar jika bangkrup.

- Jika hakikat pernikahan adalah kerana SEX, maka pasangan rajin bertengkar jika servis di kamar tidur tidak memuaskan.

- Jika hakikat pernikahan adalah kerana BEAUTY/BODY, pasangan bakal lari jika rambut beruban dan muka keripot atau badan jadi gendut.

- Jika hakikat pernikahan adalah kerana ANAK, maka pasangan akan cari alasan utk pergi jika buah hati (anak) tidak hadir.

- Jika hakikat pernikahan adalah kerana KEPERIBADIAN, pasangan akan lari jika orang berubah tingkah lakunya.

- Jika hakikat pernikahan adalah kerana CINTA, hati manusia itu tidak tetap dan mudah terpikat pada hal-hal yang lebih baik, lagipula manusia yang dicintai pasti MATI / PERGI.

- Jika hakikat pernikahan adalah kerana IBADAH kepada ALLAH, sesungguhnya ALLAH itu KEKAL dan MAHA PEMBERI HIDUP kpd makhlukNYA. Dan ALLAH mencintai hambaNYA melebihi seorang ibu mencintai bayinya. Maka tak ada alasan apapun didunia yang dapat meretakkan rumah tangga kecuali jika pasangan menderhakai ALLAH.